Oleh: Sumayyah Rihanna
TONGOD: Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengumumkan hasrat untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selepas berkhidmat selama empat penggal sejak tahun 2008.
Hasrat itu dinyatakan secara terbuka dalam Persidangan Agung Tahunan PGRS Bahagian N.57 Kuamut yang berlangsung di Dewan Entilibon, Tongod.
“Dan kita telah bersuara dalam bahagian untuk menyeneraikan tiga calon. Jadi untuk calon ketiga ini saya juga ingin mengangkat suara anda dan ingin memohon restu supaya nama Masiung Bin Banah disenaraikan dalam tiga calon untuk mempertahankan kawasan DUN Kuamut,” katanya di hadapan para perwakilan.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran jentera pilihan raya peringkat bahagian Kuamut oleh Masiung.
Ketika ditemui media, beliau menjelaskan langkah menggerakkan jentera lebih awal adalah bagi mengelakkan rasa terlalu yakin dan memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Tapi kita tidak akan lalai dan kita tidak akan terlalu yakin, sebab itu kita melancarkan jentera awal ini supaya rakyat kita dapat bersedia dan menyebarluaskan tentang kepentingan politik yang stabil,” katanya.
Masiung turut menyuarakan pandangan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding sekurang-kurangnya 52 hingga 53 kerusi dalam PRN akan datang, manakala selebihnya diserahkan kepada rakan gabungan seperti Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, suara rakyat yang mahukan parti tempatan terus memimpin Sabah perlu dihormati, dan GRS sebagai parti pemerintah wajar menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.
Beliau turut menyifatkan peranan PH dalam menyelamatkan kerajaan negeri semasa krisis politik lalu sebagai faktor penting mengapa kerjasama tersebut perlu diteruskan demi kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik negeri.
