Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing berusia 23 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian belakang badan, dipercayai akibat tikaman senjata tajam, dalam kejadian tragis di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kebun kelapa sawit, Ulu Segangan, Silabukan, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau memberitahu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut dan segera menghantar pasukan Bahagian Siasatan Jenayah ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing, masing-masing berumur 29 tahun, yang dipercayai sebagai suami isteri bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif pembunuhan.
