Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya bakal mewujudkan program khas yang dinamakan ProKhas di Serudung Laut, bagi memperluas akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan pedalaman.
“Kita dalam proses dan sekarang sedang on going progress untuk inisiatif program Jiwa Murni dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), yang mana kita bersama-sama, dan usaha ini adalah hasil pelaksanaan program Tindak Susul Parlimen di Kalabakan, dan kita mencadangkan agar projek ini dilaksanakan.
“Ini adalah sebuah usaha untuk memastikan akses pendidikan untuk anak-anak khususnya di Serudung Laut dapat kita bangunkan, dan jadikannya sebuah kenyataan.
“Saya sudah membuat tinjauan tempoh hari ke sana dan kita dapati ada ruang akses yang sangat baik, dan kita akan segerakan proses ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina lagi, sementara program Jiwa Murni itu siap sepenuhnya, anak-anak di Serudung Laut menjalani program pengajian khas bagi memastikan mereka menikmati kelas pengajian pembacaan dan guru-guru silih berganti.
“Semasa saya berkunjung, saya lihat ada sekitar 20 hingga 30 orang pelajar dan saya harap jumlah ini bertambah dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fadhlina turut memberitahu bahawa usaha itu adalah termasuk dalam reformasi pendidikan dan pihak kementerian sentiasa komited dalam memastikan akses pendidikan di seluruh Sabah dapat dicapai dengan baik oleh semua pelajar.
“Kita amat bangga dengan kejayaan anak-anak Sabah, khususnya baru-baru ini dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sudah menunjukkan hasil.
“Leboh 146 pelajar mendapat purata gred (GPA) 4.0 dan ini adalah potensi yang sangat baik dan insyaAllah, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi inisiatif yang ada untuk memperkasa sektor pendidikan di Sabah,” jelasnya.
