Fokus kelangsungan hidup bahasa suku tempatan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek memberitahu bahawa usaha untuk memelihara kelangsungan hidup bahasa suku tempatan di Sabah adalah perlu dan bergantung kepada generasi muda sebagai penerus.

“Ini bergantung kepada generasi muda sebagai penerus dan realitinya, sekarang memang tidak ramai generasi muda yang menguasai bahasa suku tempatan.

“Ini yang penting sebenarnya kerana untuk kita memelihara bahasa-bahasa suku tempatan di Sabah yang pelbagai, misalnya Bajau, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Iranun dan banyak lagi, generasi mudalah penerus kepada usaha tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, usaha DBP dalam memelihara ilmu dan bahasa khususnya Bahasa Melayu adalah sudah menjangkau usia yang matang dan peranan yang dibawa oleh DBP harus lebih jauh dan beriltizam tinggi, mengikut pertambahan usia.

“Makin bertambah usia, makin garang, dan DBP sudah mencapai usia 69 tahun yang mana usia ini adalah usia yang sangat istimewa.

“Selain itu, kerangka standard Bahasa Melayu yang sedang diperkenalkan juga adalah lambang iltizam kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu di semua aspek, sebagai bahasa kebangsaan, dengan nilai dan martabat ilmu yang tinggi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menegaskan bahawa perkembangan teknologi juga penting untuk semua pihak memperkasa serta menguasai kemahiran bahasa.

“Teknologi seperti Ai misalnya, penting untuk kita gunakan bagi usaha memperkasa bahasa, ini perlu juga untuk memastikan kita tidak terpinggir.

“Dan sudah tentu, saya juga ingin menzahirkan rasa besar hati dan kagum dengan semua pengkarya dan juga sasterawan hebat dari Sabah.

“Suka juga untuk saya petik kata-kata Perdana Menteri berkenaan kekuatan sebuah kita atau negara, yang mana kuncinya adalah kekuatan ilmu, intelektual dan bahasa yang mana penting untuk pembinaan tamadun bangsa yang diterjemahkan dalam ‘bahasa jiawa bangsa’,” ujar beliau lagi.

Hadir sama menyempurnakan majlis itu adalah Yang Dipertua Negeri Sabah Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Musa Aman. 

Turut berlangsung Pelancaran Buku Biografi Tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Indeks Kajian Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, acara turut diserikan dengan pameran daripada reruai yang mempamerkan dan menjual bahan ilmu serta buku-buku pelbagai terbitan DBP.

Tinggalkan komen