Empat lelaki warga asing dicekup, edar syabu dan miliki senapang

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Empat lelaki warga Indonesia tanpa dokumen sah dicekup polis dalam serbuan di sebuah pondok pekerja ladang sawit di Ladang Kemajuan Ruta, Jalan Jeroco, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu sekitar pukul 4.30 petang itu turut membawa kepada rampasan mengejutkan iaitu dadah jenis syabu seberat 62.35 gram bernilai RM6,858.50 serta beberapa senjata berbahaya.

Antara yang dirampas termasuk satu laras senapang angin, lima butir peluru penabur, dan sebilah pedang samurai, dipercayai digunakan untuk melindungi kegiatan jenayah mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Jimmy Panyau, berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu disahkan positif dadah jenis amfetamin dan metafetamin menerusi ujian saringan awal.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah dan sumber bekalan senjata api terbabit, yang berkemungkinan melibatkan sindiket rentas sempadan.

Tinggalkan komen