TYT dan KM hadir majlis kesyukuran Maal Hijrah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Baharu Hijrah  Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah pada  Khamis. 

Keberangkatan tiba Tun Musa pada pukul 6.00 petang disambut oleh Hajiji dan barisan  kepimpinan negeri, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1446H, disusuli Doa Awal Tahun  1447H, sebelum jemaah menunaikan Solat Fardhu Maghrib secara berjemaah. 

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat.

Para jemaah  kemudiannya diberikan Tazkirah Khas yang menyentuh pengajaran penting daripada  peristiwa hijrah Rasulullah SAW. 

Program diteruskan dengan solat fardhu isyak berjemaah sebelum para tetamu dijamu dalam satu jamuan ringkas. 

Tinggalkan komen