Terus sokong produk tempatan: KPDN

ISKANDAR PUTERI: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementeriannya komited dalam meneruskan usaha menggalakkan sokongan secara berterusan terhadap produk tempatan.

“Hari ini KPDN membuka tirai Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 dengan penganjuran peringkat Zon Selatan dan Johor telah dipilih sebagai lokasi bagi Zon Selatan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun 2025 bertempat di Puteri Harbour Iskandar Puteri, di sini hari ini.

“Kita juga mengambil kira sambutan menggalakkan dengan jumlah pengunjung seramai 761,659 orang pada tahun lalu, siri penganjuran Jelajah KPDN bagi tahun ini akan diteruskan di enam zon iaitu Zon Selatan (Johor), Zon Utara (Kedah),

Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak,” katanya. 

Armizan turut melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan ”Jom Beli Lokal”. 

“Kempen ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik sekali gus membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam peluasan jaringan pasaran. 

“Pada masa yang sama, inisiatif ini memberi ruang untuk menonjolkan kualiti produk tempatan yang boleh menjadi pilihan utama, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import,” katanya lagi.

Tambah Armizan, inisiatif itu adalah bagi menggerakkan agenda mempromosi pembelian barangan tempatan dan akan sentiasa digerakkan melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation). 

“Selain pelbagai kementerian dan agensi melaksanakan strategi dan pendekatan masing-masing, usaha ini juga akan dilaksanakan oleh sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Di peringkat KPDN, inisiatif akan digerakkan melalui rakan strategik dalam industri peruncitan termasuk melalui platform e-dagang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa kementeriannya akan fokus kepada usaha meningkatkan nilai jualan produk tempatan pada pasaran domestik.

“Kita juga mencari strategi yang akan dilaksanakan untuk memperkasa penembusan produk tempatan ke peringkat antarabangsa melalui program Local to Global Retail.

“Saya berharap, kempen ini juga akan memanfaatkan trend pertumbuhan industri perdagangan pengedaran yang semakin berkembang,” katanya.

Setakat Disember 2024, sektor perdagangan pengedaran telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion, peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun 2023 (RM1.674 trilion). 

“Untuk tahun 2023 dan 2024, tiga platform pengendali e-dagang iaitu TikTok, Shopee, dan Lazada telah menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM yang melibatkan hampir 700,000 Stock Keeping Unit (SKU),” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen