Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Kerajaan Negeri diminta untuk mempercepat penyaluran peruntukan bagi membangunkan dua tapak tanah perkuburan Islam baharu di daerah ini susulan tanah sedia ada semakin padat dan tidak lagi mampu menampung pengebumian baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, situasi itu memerlukan perhatian segera kerana ia melibatkan urusan fardu kifayah umat Islam yang memerlukan pengurusan sempurna ketika berlakunya kematian.
“Antara kawasan yang dikenal pasti sesuai untuk pembinaan tanah perkuburan baharu ialah di Jalan Baradaya dan Merotai yang mampu menampung keperluan pengebumian bagi penduduk Islam dari Kukusan, Tawau dan Kalabakan.
“Tanah perkuburan Islam di Jalan Utara Kukusan kini hampir penuh.
“Tanah di kawasan Kukusan pula semakin pesat membangun dan mempunyai nilai komersial tinggi, menjadikan sukar untuk menambah tapak perkuburan baharu di kawasan sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Van Jenazah kepada Masjid Nurul Taqwa, Kampung Jawa Lanut, di sini, kelmarin.
Rina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata, permohonan peruntukan sudah dikemukakan sebelum ini.
“Kita berharap kerajaan negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat mempertimbangkan kelulusan segera bagi merealisasikan pembinaan tanah perkuburan berkenaan.
“Keperluan ini bukan sekadar kemudahan fizikal tetapi merupakan pelaksanaan fardu kifayah kerana apabila berlaku kematian, masyarakat perlu mempunyai tempat yang selesa dan sesuai untuk menguruskan jenazah dengan sempurna,” katanya lagi.
Menurutnya, pembinaan tanah perkuburan baharu memerlukan sokongan kewangan besar dan perlu dirancang dengan teliti bagi kegunaan jangka panjang penduduk Islam di daerah ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas kelulusan van jenazah pertama untuk DUN Kukusan yang diserahkan kepada Masjid Nurul Taqwa, Kampung Jawa Lanut.
“Kemudahan ini amat signifikan dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di Mukim Sentosa dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada bantuan luar bagi urusan pengangkutan jenazah,” katanya.
Jelasnya, usaha itu juga seiring dengan agenda Pembangunan Modal Insan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan terhadap inisiatif kesejahteraan rakyat, khususnya dari aspek pengurusan kematian.
Tambah beliau, permohonan van jenazah tambahan turut diterima daripada Surau Kampung Airport Lama bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar Padang Terbang.
“Kemudahan ini bukan hanya membantu meringankan beban waris, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk menyempurnakan tanggungjawab sosial dan agama mereka.
“Saya juga menggalakkan masjid dan surau menubuhkan tabung khas penyelenggaraan van jenazah supaya dapat digunakan secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan,” katanya.
Rina berkata, usaha memperkukuh pengurusan jenazah dan penyediaan tapak perkuburan adalah sebahagian daripada tanggungjawab bersama bagi memastikan keperluan masyarakat Islam terus dipenuhi sejajar dengan pembangunan pesat bandar Tawau.
