Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat lagi terselamat dalam satu kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Nipah, berhampiran Taman Warisan, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.34 petang itu, kenderaan jenis Perodua Myvi, Toyota Hilux dan lori 10 tan dipercayai terbabit dalam pelanggaran sehingga mengakibatkan seorang penumpang wanita berusia 56 tahun maut di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PBK I Mohamud Punya berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan daripada MERS999 dan tiba di lokasi pada pukul 2.42 petang dengan kekuatan lapan anggota serta dua jentera.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati terdapat lima mangsa di lokasi dan seorang wanita penumpang Myvi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala pemandu lelaki berusia 69 tahun mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
“Tiga lagi mangsa masing-masing dua lelaki berusia 62 dan 60 tahun dalam Hilux serta seorang pemandu lori berusia 24 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.20 petang selepas semua risiko dinilai terkawal.
Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati di jalan raya terutama di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
