Oleh: Elrwin Richard
KOTA KINABALU: Wanita KEADILAN Negeri Sabah menyambut baik penarafan kelulusan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mencatat kadar sokongan sebanyak 55 peratus, menurut laporan terkini Merdeka Center.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Datin Rufinah Pengeran berkata, sokongan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Anwar dalam mentadbir negara secara telus, berintegriti dan berlandaskan prinsip reformasi institusi.
“Penarafan ini adalah bukti bahawa rakyat semakin yakin terhadap kepimpinan PMX dan ini termasuklah dari segi estabilan politik serta dasar-dasar yang mengutamakan rakyat juga terbukti semakin meyakinkan masyarakat pelbagai lapisan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pencapaian itu juga mencerminkan kejayaan agenda reformasi yang digerakkan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Ini bukti yang mempamerkan bahawa agenda reformasi berada di landasan yang betul.
“Kita akan jadikan pencapaian ini sebagai motivasi untuk terus memperjuang aspek keadilan sosial, pemerkasaan wanita, serta pembangunan yang seimbang di seluruh negara termasuk negeri Sabah,” katanya lagi.
Penarafan kelulusan oleh Merdeka Center itu juga dilihat sebagai satu isyarat positif terhadap penerimaan rakyat terhadap usaha reformasi kerajaan, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi, sosial dan pentadbiran negara secara menyeluruh.
