Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Kemajuan beberapa pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di laluan Lahad Datu ke persimpangan pusat pemeriksaan (checkpoint) Tawau–Semporna masih bergerak perlahan berikutan masalah pengambil alihan tanah dan pengalihan utiliti yang belum selesai.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata, walaupun beberapa pakej iaitu Pakej 16 hingga 20 sudah diberi lantikan sejak September tahun lalu, kerja-kerja di tapak masih di tahap awal.
“Saya sudah turun padang semalam untuk meninjau jajaran terbabit dan setakat ini hanya kerja pembersihan tapak, pembentukan jajaran dan struktur awal seperti pembinaan culvert yang dapat dilihat.
“Perkara ini berlaku disebabkan proses pengambilalihan tanah serta kerja-kerja pengalihan utiliti masih belum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke beberapa lokasi projek, kelmarin.
Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR), juruperunding dan kontraktor supaya semak semula jadual kerja masing-masing dan kenal pasti bahagian yang boleh dimulakan tanpa perlu tunggu selesai sepenuhnya proses pengambilalihan.
“Kita tak mahu kerja terus tertangguh. Kalau ada bahagian yang sudah boleh mula, teruskan pembinaan supaya projek ini tidak terlalu ketinggalan dari segi jadual asal.
“Kita mahu peningkatan ketara dalam progres kerja kerana ini adalah projek penting untuk rakyat Sabah,” katanya.
Dalam masa sama, Shahelmey turut mengingatkan semua kontraktor supaya memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan pengurusan trafik kerana laluan sedia ada masih digunakan orang ramai.
“Saya mahu semua pihak pastikan trafik dikawal dengan baik, jalan diselenggara secara berkala dan lubang yang timbul perlu ditampal segera demi keselamatan pengguna,” katanya.
Projek Pan Borneo Sabah yang membabitkan pelbagai jajaran di seluruh negeri dijangka menjadi nadi penghubung utama rakyat Sabah serta pemangkin pembangunan ekonomi terutama di kawasan luar bandar.
