Lelaki warga asing ditahan, miliki tiga kilogram syabu dirampas 

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing mengedar dadah jenis syabu gagal apabila dia berjaya diberkas polis dalam satu serbuan di kawasan Jalan Masuk Indrasabah Fishing Paradise, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan pada 20 Jun lalu sekitar pukul 3.30 petang hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Menurut beliau, suspek lelaki berusia lingkungan 30an itu ditahan selepas bertindak mencurigakan ketika terlihat kehadiran pasukan polis, sebelum cuba melarikan diri sambil mencampakkan sebuah beg berwarna kelabu bertulis “ONESTOP”.

“Pasukan serbuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengejar dan memberkas suspek yang bertindak agresif.

“Pemeriksaan badan terhadap suspek tidak menemui sebarang barangan salah. Namun, hasil pemeriksaan ke atas beg kelabu yang dibuangnya, pihak polis menemui tiga bungkusan teh jenama Guanyinwang berwarna hijau yang mengandungi paket lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sidang media, di sini, hari ini.

Jelasnya, berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 3,085.64 gram dengan anggaran nilai pasaran mencecah RM105,000.

Tambah beliau, suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan ujian saringan air kencing ke atasnya juga menunjukkan keputusan positif dadah jenis metafetamin dan amfetamin.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian pengedaran dadah yang terlibat,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah ini secara berkesan.

Tinggalkan komen