Kren baru lonjak keupayaan operasi Pelabuhan Tawau: Shahelmey

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Operasi Pelabuhan Tawau dijangka dipertingkat apabila kren baharu mula digunakan hujung tahun 2025 atau selewat-lewatnya awal 2026, kata Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, keupayaan pelabuhan dalam urusan pemunggahan dan pemuatan kontena akan bertambah seiring dengan penggantian kren lama yang kini masih digunakan.

Katanya, lawatan kerja singkat beliau ke Pelabuhan Tawau pagi ini bertujuan meninjau sendiri operasi semasa selepas menerima aduan daripada pemain industri perkapalan berhubung isu kerosakan kren pada Mei lalu.

“Hasil beberapa sesi perbincangan di pejabat saya bersama Sabah Ports Sdn. Bhd. dan pihak industri perkapalan, kita dimaklumkan bahawa kren yang mengalami kerosakan sebelum ini sudah kembali beroperasi sepenuhnya.

“Sabah Ports turut merancang untuk menggantikan kren lama ini dengan yang baharu menjelang hujung tahun atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat daripada Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan Sabah Ports Sdn. Bhd., di sini, hari ini.

Shahelmey berkata, kementeriannya berpuas hati dengan tahap operasi semasa pelabuhan itu namun mengingatkan Sabah Ports supaya memberi perhatian serius terhadap penyelenggaraan aset lama.

“Kita mahu Sabah Ports memastikan setiap aset penting pelabuhan, khususnya yang sudah lama digunakan, diberi penyelenggaraan berkala bagi mengelak gangguan kepada operasi harian,” katanya.

Beliau berkata, penambahan kren baharu juga akan meningkatkan kapasiti pelabuhan sekali gus menyokong perancangan pembangunan pelabuhan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.

“Kita percaya penambahan ini akan merancakkan lagi aktiviti logistik di Pelabuhan Tawau dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Tinggalkan komen