Oleh: Nadhirah Humairah M Nahji
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyangkal dakwaan berkenaan pemberian kad pengenalan (IC biru) kepada warga Pakistan di Sabah.
“Isu ini pernah tular pada tahun 2019 dan kini kembali lagi selepas ada pihak yang menyebarkan beberapa gambar kad pengenalan yang dikaitkan dengan warga Pakistan.
“JPN telah menerima aduan dan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tular, termasuk kes pemegang kad pengenalan Mohd Izaz Abit yang didapati menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk mendapatkan kad pengenalan,” katanya dalam sebuah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh JPN, di sini, hari ini.
Pihak Timbalan Pendakwa Raya turut mengarahkan untuk tindakan undang-undang diambil, termasuk merampas kad pengenalan individu tersebut.
“Semakan lanjut ke atas beberapa nombor kad pengenalan lain mendapati mereka adalah warganegara Malaysia secara sah mengikut Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka ialah Abd Rauf Hamzah, warganegara mengikut Perkara 14(1)(b); Mohd Abzah Ulamai Dar, warganegara mengikut Perkara 14(1)(a); Said Bashar Shah Zadar, warganegara mengikut Perkara 14(1)(b) setelah disahkan bapanya warganegara Malaysia sejak 6 Mac 1958,” katanya.
JPN turut menjelaskan bahawa setiap permohonan kewarganegaraan adalah terikat kepada peruntukan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta undang-undang berkaitan lain termasuk soal perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.
“Kelulusan permohonan bukan satu hak automatik walaupun syarat mencukupi kerana Malaysia tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kewarganegaraan atau keistimewaan tertentu kepada mana-mana individu,” tegas JPN.
JPN turut meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.
