Jangan terlalu yakin, perlu kerja keras: Redonah

KOTA KINABALU: Jentera pilihan raya diingatkan untuk tidak meletak keyakinan terlalu tinggi dan merasa bahawa kemenangan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 sudah berada dalam genggaman.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda berkata, kemenangan sebenar adalah pada hari pengundian dan rakyat telah memberikan mandat kepada Gabungan Rakyat Sabahn( GRS) untuk memerintah.

“Harus diingatkan kepada semua bahawa dalam apa juga gerak kerja, semua peringkat lapisan kepimpinan parti tidak boleh sekali-kali mempunyai sifat atau fikiran terlalu yakin untuk memperoleh kemenangan.

“Kemenangan sebenar hanya boleh diraikan sebaik sahaja pengumuman atau pengisytiharan Suruhanjaya Pilihan Raya pada malam hari mengundi pada PRN17 kelak.

“Berdasar kepada sejarah pilihan raya lalu baik PRN atau PRU, apa sahaja boleh berlaku dan corak rakyat mengundi kadang-kadang begitu kompleks dan sukar diramalkan. Apa sahaja boleh berlaku. Ramalan terbalik 360 darjah biasa berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah di Alamesra, di sini, pada Selasa.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Datuk Aziah Atoh (Darau), Penolong Setiausaha Fahzean Mohidin (Kawang), Ketua Penerangan Senator Datuk Anna Bell Perian serta exco-exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah.

Menurut Redonah, sebelum menjelang hari pembuangan undi, pelbagai faktor boleh memungkinkan kemenangan atau kekalahan kepada parti, malah sehingga menjelang malam hari mengundi pun tidak ada pihak boleh mendabik dada mereka boleh menang dan mampu menang.

Katanya, kemenangan pada PRN lepas pula tidak sesekali boleh dijadikan ukuran untuk semua jentera berasa selesa dengan corak pilihan rakyat.

“Mungkin kemenangan yang dikecapi oleh kita bukan disebabkan kita kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peluang untuk memerintah. Jika silap perhitungan undi bakal beralih ke pihak lawan.

“Justeru, sewajarnya kita mengatur langkah awal, langkah yang hebat, dan langkah-langkah yang lebih mantap supaya momentum sokongan tidak hilang menjelang PRN17,” tegasnya.

Beliau yakin Gabungan Rakyat Sabah hari ini masih mendapat sokongan dan menjadi harapan rakyat untuk terus memerintah terutama berdasarkan rekod dan pencapaian yang ada.

Katanya, apa yang penting sekarang ialah memastikan fikiran rakyat tidak dipesong oleh parti pembangkang yang cuba menarik sokongan.

“Oleh itu kita mesti bekerja supaya mereka akan terus memberi mandat kepada kita. Gerakan Wanita pula perlu lebih agresif dalam mendekati rakyat dan pengundi.

“Tindakan ini memerlukan perancangan yang rapi, kecekalan dan kesabaran yang tinggi. Tidak ada gerak kerja yang mudah kerana setiap usaha itu pasti ada cabaran dan dugaan,” ujar beliau.

Tinggalkan komen