Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Fokal Person Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Mohd Arif Tun Sakaran berkata kolaborasi antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah adalah penting untuk membantu mempersiapkan kemajuan kesenian pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang bakal mewakili kontinjen sekolah untuk bertanding.

“Saya yakin kolaborasi ini, ditambah dengan dana dari jabatan dan sumbangan luar, hasrat untuk menjayakan aktiviti kesenian serta penglibatan anak-anak pelajar mewakili sekolah untuk bertanding dalam apa sahaja acara seni, dapat direalisasikan.
“PIBG memang kena main peranan kerana kita sedar, ada sesetengah PIBG dalam komuniti kita yang sangat membantu dan menyokong usaha penglibatan anak-anak pelajar dalam kegiatan seni, walaupun mereka kebanyakannya daripada golongan B40.
“Mereka tetap gigih dalam memberi sokongan, mencari dana dan apa saja untuk membantu supaya anak-anak pelajar yang mewakili sekolah ke pertandingan kesenian, dapat dipenuhi segala keperluannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir merasmikan Majlis Penutupan Festival Rancak Seni (FERAS) Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 2025, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah (JKKNS), di sini, hari ini.
Menurut Mohd Arif lagi, FERAS yang dilaksanakan itu adalah bertujuan untuk mempromosikan seni di sekolah dan sebagai medan untuk mendidik generasi muda.
“KIta mahu anak-anak pelajar kita mengenal jati diri budaya dan mereka mampu untuk menambah skill atau kemahiran dalam diri, khususnya dalam bidang seni.
“Kita akan menyokong usaha murni anak-anak kita penglibatan aktiviti seni dan ini sebenarnya penting untuk kita melahirkan generasi bakal pemimpin negara yang berkebolehan dan kreatif.
“Ini juga adalah sebuah platform yang baik untuk ita bentuk para pelajar kita, khasnya dalam mempersiapkan diri mereka sebagai modal insan yang dibentuk sahsiah, emosi dan terbentuk sebagai pelajar yang berkeyakinan tinggi,” katanya lagi.
Tambah beliau, perkembangan bidang seni dalam kalangan generasi muda perlu dipertingkatkan agar kekayaan warisan budaya tempatan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
“Kita harap, festival atau program seumpama ini dapat memberi impak besar kepada usaha memelihara seni dan mengembangkan bakat seni anak muda kita.
“Kita mesti terus memberikan semangat kepada anak-anak kita untuk mereka bersaing secara sihat,” jelasnya.
Bagi acara Pertandingan Ensembel Rekorder dan Genderang Peringkat Negeri Sabah 2025, johan disandang oleh Cantabayu Recorder Consort wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, naib johan pula disandang oleh Lamidos Citra Melodi wakil daripada PPD Beluran dan tempat ketiga pula dimenangi oleh D’Buvalumis Ensemble wakil daripada PPD Penampang.
Konduktor terbaik untuk acara itu turut dinobatkan kepada Zikri Harith Zul Hassan daripada Cantabayu Recorder Consort.
Bagi acara Pertandingan Koir Peringkat Negeri Sabah 2025 pula, johan disandang oleh Voice of Josephian Choir wakil daripada PPD Papar, naib johan disandang oleh Rolou Nulinau wakil daripada PPD Kota Belud, dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhwa Choir wakil daripada PPD Keningau.
Konduktor terbaik untuk acara ini dinobatkan kepada Erel Aricx William daripada Rolou Nulinau, persembahan lagu wajib terbaik dan anugerah khas juri pula dimenangi oleh Voice of Josephian Choir.
