KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menggesa agar
semua pelajar peserta demo gempur rasuah 2.0 anjuran kumpulan kecil Suara Mahasiswa UMS dibuang dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana secara jelas telah mencemarkan nama baik universiti itu.
“Kita harap Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Md Mansur agar segera meletak jawatan dengan cara terhormat sebagai memikul rasa bertanggungjawab terhadap insiden membakar foto wajah PMX yang jelas amat memalukan serta mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang amat teruk di bandaraya Kota Kinabalu semasa perhimpunan tersebut berlangsung.
“Tindakan pihak UMS hanya membuat laporan Polis selepas insiden memalukan itu disifatkan sudah terlewat, sepatutnya sejak awal lagi Naib Canselor atau wakil UMS telah membuat laporan Polis bagi mencegah demo itu dilakukan ditengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Zulkarnain, perhimpinan seumpama itu tidak sewajarnya berlaku dan hal tersebut menjadi lebih parah apabila wujudnya pemimpin dan ahli-ahli Parti Warisan Sabah yang turut membantu demo secara langsung.
“Malangnya nasihat yang diutarakan telah bakul sampahkan, kita meneliti dan melihat budaya ganas ini sebagai satu hal yang sama sekali tidak boleh diterima di Sabah.
“Justeru sebagai bentuk pengajaran, Naib Canselor UMS wajar untuk meletakkan jawatan dan pelajar-pelajar UMS yang terlibat demo juga wajar digantung dan disingkirkan dari universiti itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zulkarnain juga menegaskan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan agar pelajar-pelajar terbabit demo tidak dibuang universiti, namun undang-undang harus diletakkan sebagai paksi utama keharmonian dan keamanan negeri Sabah.
“Tindakan biadap mereka jika dibiarkan boleh mendatangkan padah kepada negeri Sabah, kerana dimasa akan datang perkara sama akan berulang dengan alasan kononnya mendapat sokongan PMX.
“Harus diingat insiden kekacauan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan membakar potret pemimpin utama negara mungkin menjadi amalan biasa di semenanjung Malaysia tetapi sama sekali tidak di negeri Sabah.
“Jadi sewajarnya dan seboleh-bolehnya, kesemua pelajar-pelajar UMS yang selepas digantung atau disingkirkan dari universiti nanti, bolehlah memohon kerja di pejabat Parti Warisan Sabah.
“Kita amat yakin dan percaya yang Parti Warisan Sabah mempunyai hala tuju terbaik dan sudah tentu pelajar-pelajar ini boleh menimba banyak pengalaman menjadi insan yang baik hasil tunjuk ajar kepimpinan Parti Warisan Sabah,” ujar beliau lagi.
