Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa seramai 2,302 anggota Jawatankuasa Kemajuan Desa MADANI (JKDM) telah berjaya dilantik di Sabah bagi Fasa I tahun 2025.
“Kita berjaya lantik dan jumlah ini adalah lebih 80 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,853 orang, dan bagi Fasa I tahun 2025, sebanyak RM11 juta sudah diperuntukkan khusus untuk elaun dan gerak kerja JKDM Sabah.
“Ini bagi mencetuskan perubahan, pemudah cara bantuan dan apa-apa masalah yang berlaku, yang mana memerlukan bantuan.
“Saya memang mahu JKDM memainkan peranan, misalnya bila ada ibu tunggal yang tercicir bantuan, JKDM akan bantu untuk mohon dan kalau ada anak muda yang menganggur, JKDM juga akan cari peluang pekerjaan atau latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Wujudkan Wadah Interaktif Nasional anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, antara peranan utama JKDM adalah untuk mengemaskini Profiling Komuniti Desa (ProKD) dan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN).
“Ini bertujuan untuk mengumpulkan data demografi Ketua Isi Rumah (KIR), dan Ahli Isi Rumah (AIR) di kampung masing-masing.
“Peranan ini amat penting bagi memperoleh data terkini yang diperlukan untuk analisis dan perancangan pembangunan kampung secara lebih holistik dan tepat,” katanya lagi.
Konvensyen itu dihadiri oleh 1,200 orang kepimpinan desa yang terdiri daripada anggota JKDM daripada seluruh negeri.
“Acara ini adalah sebagai sebuah wadah interaktif peringkat nasional yang memberi ruang kepada pengurusan tertinggi kementerian dan kepimpinan negara untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin akar umbi dan masyarakat luar bandar.
“Objektif utama konvensyen adalah untuk menyebar luas fungsi, peranan serta bidang tugas JKDM ke arah membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat agar JKDM dapat menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi luar bandar,” tambahnya.
