KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus menzahirkan sokongan terhadap mana-mana usaha dan gerakan rakyat yang memperjuangkan integriti, ketelusan dan pembanterasan rasuah termasuk inisiatif demonstrasi Gempur Rasuah 2.0 yang dianjurkan baru-baru ini.
“Semangat membanteras penyelewengan dan menuntut keadilan adalah sebahagian daripada denyut nadi perjuangan reformasi yang menjadi teras penubuhan KEADILAN.
“Namun demikian, AMK Sabah ingin menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tegas terhadap tindakan yang boleh kita sifatkan sebagai tidak bermoral, dengan membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak menghormati prinsip perbezaan secara matang dan beradab, bahkan ia bertentangan dengan semangat serta sejarah panjang perjuangan PMX sendiri dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa sejak era 1998,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, kelmarin.
Menurut Mohd Nur Hilmie lagi, pihak protes yang menyertai demo sewajarnya ingat bahawa PMX merupakan antara tokoh politik yang paling konsisten, tegas dan berani dalam membanteras budaya rasuah.
“Ini bukan hanya dalam ucapan, tetapi melalui pelbagai reformasi institusi dan dasar ketelusan fiskal yang kini sedang dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI.
“Kami percaya bahawa sebarang bentuk desakan rakyat haruslah dilakukan secara berhemah, berfakta dan membina, bukan dengan memperlekeh simbol pemimpin yang sedang menggerakkan perubahan yang nyata dalam pentadbiran negara,” jelasnya lagi.
