Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk bertanding semua kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan memenangi kesemua kerusi yang ditanding tersebut.
“Kalau boleh semua kerusi kita tanding dan semua kerusi kita mahu menang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sidang media di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, parti itu sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak kerana jalinan kerjasama yang boleh dijalinkan adalah luas dan terbuka.
“Tidak ada pintu yang harus dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya.
“Kita harapkan yang positif dan perincian masih tidak dapat dilakukan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubarkan, tetapi apabila tiba masanya, mungkin kita akan tamatkan segala pertemuan dan perundingan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberitahu bahawa parti itu akan bertanding dengan menggunakan logo ‘dacing’ BN untuk PRN Sabah ke-17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Kita akan bertanding atas lambang ‘dacing’, namun kita, parti BN, tidak menolak kolaborasi dengan gabungan-gabungan parti-parti yang lain,” jelasnya lagi.
Selain itu, Ahmad Zahid juga menyatakan bahawa setakat ini masih belum wujud sebarang rundingan kerusi dan BN memilih untuk bersikap terbuka bagi hal tersebut.
“Kita bersikap terbuka dan tentunya kita mahu mencari rakan lebih ramai daripada mencari musuh,” katanya.
Perkembangan lain, Ahmad Zahid juga berkata bahawa pihaknya menyerahkan kuasa perundingan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah untuk melakukan siasatan bagi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang disiasat berkenaan kes rasuah.
“Kita bagi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan, dengan membawa bukti dan saksi yang berkredibiliti.
“Kalau seseorang itu mempunyai saksi dan bukti, untuk menolak saksi dan juga bukti pihak pendakwaan, maka bersihkanlah nama di mahkamah,” katanya.
