KOTA KINABALU: Ketua Angkatan Muda Keadilan PRK Penampang, Eldridge Laurence Timis menegaskan bahawa jentera parti di semua peringkat kini berada dalam keadaan siap siaga dan sebarang urusan yang melibatkan proses rundingan kerusi perlu dihormati oleh semua pihak.
“Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog secara tradisinya merupakan kerusi milik Pakatan Harapan (PH) dan ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
“Sepertimana yang termaktub dalam semangat dan prinsip PH, pembahagian kerusi antara komponen gabungan adalah hak mutlak Majlis Presiden PH untuk ditentukan secara muktamad.
“Jadi, apa-apapun, semua pihak wajar untuk menghormati proses rundingan kerusi sebagaimana yang digariskan dalam polisi rasmi gabungan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kenyataan Datuk Donald Peter Mojuntin yang disiarkan di media baru-baru ini berhubung hasrat beliau untuk bertanding di DUN Moyog.
“Sebarang kenyataan atau pengumuman berhubung agihan kerusi mestilah hanya dibuat berdasarkan keputusan Majlis Presiden PH, bukannya secara unilateral oleh mana-mana individu atau parti.
“Tindakan melangkaui proses rasmi ini boleh mencetus kekeliruan di kalangan rakyat serta menggugat keharmonian dan kekuatan gabungan.
“Sebagai rakan sekutu dalam PH, PKR sentiasa berpegang teguh kepada prinsip ini dan akan terus menyokong sesiapa sahaja calon PH yang dipersetujui untuk bertanding di kerusi Moyog demi memastikan kemenangan gabungan ini dan kami berharap UPKO juga kekal menghormati semangat permuafakatan ini dengan memberi ruang kepada proses rundingan rasmi PH, selaras dengan dasar serta polisi gabungan yang sedia ada,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa PKR tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan hak dan kedudukan kerusi PH di Moyog berdasarkan konsensus rasmi PH yang diputuskan secara kolektif.
“Kami ingin mengingatkan semua rakan dalam gabungan bahawa sebarang kenyataan atau pengumuman berkaitan agihan kerusi mesti disalurkan melalui saluran PH yang sah, bukan secara unilateral atau spekulatif.
“Fokus utama PKR Penampang adalah untuk memperkukuhkan kekuatan PH di Sabah, khususnya di DUN Moyog, demi menjamin kemenangan demi rakyat dalam PRN ke-17 ini dan kepentingan gabungan harus diutamakan melebihi kepentingan mana-mana parti atau individu.
“Kita teguh dalam prinsip muafakat, demi kemenangan bersama!,” ujar beliau lagi.
