Hanya akan kerjasama dengan parti yang ikhlas: Bung

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah berpegang teguh kepada prinsip untuk hanya menjalinkan kerjasama bersama parti yang ikhlas dan telus.

“Saya hanya akan mencari parti untuk bekerjasama yang ada ketelusan, ada keikhlasan dan parti yang tidak menipu, kalau parti suka menipu, mana mahu kerjasama.

“Jadi pendirian kami (BN) jelas, keikhlasan bermakna bila kita sudah setuju, kita tidak akan mungkiri, kata mesti dikota, janji mesti ditepati kerana begitu syaratnya.

“Keikhlasan ini adalah bila kita tunaikan apa kita janji dan saya tidak suka pemimpin yang mengeluarkan air mata buaya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir sama dalam Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Wujudkan Wadah Interaktif Nasional, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang tadi.

Menurut Bung yang juga merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan, beliau tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, tetapi parti itu mesti berubah dan menjadi sebuah parti yang ikhlas.

Selain itu, Bung juga memberitahu bahawa BN masih belum menetapkan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan untuk PRN ke-17.

“Saya tidak boleh putuskan berapa kerusi yang kita mahu tanding, dan kalau boleh, kita akan tanding semua kerusi yang kita boleh menang.

“Kalau saya boleh menang 40, jadi 40 kerusi saya mahu BN tanding,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu turut memberitahu bahawa BN masih belum membuat perbincangan atau rundingan one to one bersama Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

“Apa-apa rundingan atau perbincangan dengan GRS, itu biar kita bincang kerana saya tidak mahu orang tengah, ini tiada keperluan.

“Hanya hati dan jiwa yang bersih saja kita perlu, akuan bersumpah (SD) untuk persetujuan dan seumpamanya itu kita tidak perlu dan memang tidak ada keperluan.

“Pandangan saya, lebih baik kita bergabung selepas PRN, supaya kita tahu berapa dia punya berapa kita punya, kalau sekarang mahu gabung kita tidak tahu, kita boleh cakap kita mampu menang berapa, dia juga cakap yang sama tapi realiti sebetulnya adalah selepas PRN,” jelasnya.

Tambah Bung, setakat ini, BN Sabah juga masih berhubungan baik dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidaklah berhubungan sangat baik, tapi setakat ini kita baik dan untuk proses rundingan itu, kita kena tengok semula kerana ada beberapa perkara masih perlu kita bincangkan,” ujarnya.

Tinggalkan komen