Utamakan apa yang penting untuk rakyat: KM

Oleh: S Noraishah Ahmad

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan sentiasa meletakkan hal yang menjadi kepentingan rakyat sebagai aspek utama dalam perlaksanaan dan pembangunan.

“Pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan dan ini semua adalah untuk meningkatkan tahap pembangunan dan kemajuan negeri, termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya akan tetap diberikan keutamaan khusus untuk diperbaiki, dinaiktaraf dan pertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir dalam Majlis Jamuan Negeri  Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74, Tuan Yang Terutama  Yang di-Pertua Negeri Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, malam tadi.

Menurut Hajiji lagi,  tugas dan tanggungjawab setiap pegawai kerajaan adalah signifikan kerana mereka memegang peranan masing-masing khasnya untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dapat disampaikan dengan berkesan.

“Perlu cekap dan telus, kita mahu menggalakkan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan prinsip rakyat sebagai pelanggan utama dalam sektor awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru semua anggota perkhidmatan awam untuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

“Matlamat utama kita ialah memastikan negeri ditadbir urus dengan cekap demi menjayakan proses pembangunan yang lancar sebagaimana yang dikehendaki dan diharapkan oleh kita semua.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri tetap bertekad cemerlang dalam membawa kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi di bawah naungan dan kebijaksanaan Tuan Yang Terutama Tun, yang menjadi payung kedaulatan, perpaduan dan keharmonian negeri ini,” katanya lagi. 

Hadir sama ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, isteri Ketua Menteri Datin Seri Datuk Juliah Salag, dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya.

 

Tinggalkan komen