KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata laporan terkini prestasi dagangan negeri-negeri Malaysia bagi tahun 2024 mendedahkan satu hakikat yang tidak boleh menidakkan realiti berkenaan ekonomi Sabah yang sedang mengalami kemunduran yang membimbangkan.
“Dengan penurunan eksport sebanyak RM59.3 bilion dan import merosot RM57.1 bilion, Sabah muncul sebagai satu-satunya negeri utama yang mencatat penyusutan ketara dalam kedua-dua sektor ini.
“Dalam masa yang sama, negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor merekodkan pertumbuhan pesat.
“Perkembangan ini bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi, sebaliknya ia mencerminkan kegagalan dasar dan kelemahan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan serta berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Suhaimi, penurunan eksport juga menandakan bahawa kemerosotan daya saing negeri.
Katanya, Sabah semakin kehilangan kedudukannya sebagai pengeluar komoditi utama negara seperti minyak dan gas, kelapa sawit serta hasil pertanian.
“Soalnya, di manakah pelan strategik kerajaan negeri untuk meningkatkan nilai tambah sektor-sektor ini? Atau adakah Sabah terus bergantung kepada ihsan pusat tanpa perancangan yang mapan?
“Dalam masa yang sama, kemerosotan import pula mencerminkan kelembapan aktiviti pelaburan dan ekonomi domestik.
“Penurunan besar dalam kemasukan bahan mentah, barangan modal dan peralatan industri memberi isyarat jelas bahawa pelabur sama ada dalam atau luar negara semakin hilang keyakinan terhadap kecekapan pentadbiran negeri,” jelasnya.
Selain itu, Suhaimi juga menjelaskan bahawa semasa Pulau Pinang mencatat Indeks Keterbukaan Perdagangan (TOI) sebanyak 542.6, Johor 326.8 dan purata nasional pada 149.0.
“Sabah terus tertinggal jauh di belakang. Ini bukan sekadar perbandingan statistik dan ini soal masa depan anak-anak Sabah yang kini semakin terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Ketika negeri-negeri lain bergerak ke hadapan dengan pelaburan strategik, transformasi ekonomi digital dan pemerkasaan teknologi hijau, Sabah masih terperangkap dalam polemik politik dan pentadbiran lemah yang gagal menterjemah potensi kepada kemakmuran sebenar,” katanya.
Tegas Suhaimi lagi, UMNO Sabah tidak akan berdiam diri apabila melihat keadaan seumpama itu berterusan.
“Kami percaya penyelesaian kepada kemelut ini memerlukan perancangan ekonomi negeri jangka panjang yang berasaskan data dan kepakaran, reformasi urus tadbir yang telus dan pro-pelaburan, pemulihan semula peranan Sabah sebagai pengeluar strategik negara, serta pengukuhan infrastruktur asas dan digital yang menjadi asas kepada ekonomi masa hadapan.
“Ini bukan masa untuk menyalahkan pihak lain, tetapi masa untuk mengakui kegagalan dan memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih berwibawa, jujur dan berpandangan jauh,” katanya.
Suhaimi juga menyatakan hasrat UMNO Sabah dan katanya, parti itu bersedia untuk memimpin semula naratif pembangunan negeri.
“Kita sedia untuk kembali memimpin, ini bukan dengan janji manis kosong, tetapi dengan iltizam, kebijaksanaan dan keberanian politik.
“Rakyat Sabah tidak perlukan kerajaan yang hanya pandai berkempen tapi rakyat Sabah perlukan kerajaan yang tahu mentadbir,” ujar beliau lagi.
