Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan GRS membawa model politik yang meletakkan landasan bahawa parti lokal perlu menjadi teras kepada pentadbiran di peringkat Kerajaan Negeri, dan bukanlah menolak kerjasama dengan parti nasional.
“Misi tersebut penting kerana kita mahu memastikan bentuk hubungan persekutuan dan negeri adalah bersifat antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya bersifat intra-parti (intra-party).
“Kita mahukan supaya apa saja agenda dan isu yang melibatkan kepentingan negeri dirunding dan diselesaikan melalui forum diantara dua peringkat kerajaan, iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Jika parti yang sama iaitu parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, kecenderungan berlaku isu yang melibatkan kepentingan negeri akan dirundingkan dalam ruang lingkup dalaman parti terlebih dahulu,” katanya.
Armizan berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media selepas hadir merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Menurut Armizan, agenda dan kepentingan negeri yang diputuskan secara intra-parti, mempunyai risiko dan kepentingan parti akan diutamakan sekaligus meletakkan kepentingan negeri sebagai hal kedua dan tidak sepenting hal parti.
“Kita lebih risau jika ada indoktrinasi sesetengah parti politik nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti mengatasi segala-galanya, tanpa kompromi.
“Ada ketikanya isu negeri akan didiamkan hanya kerana pendirian parti nasional adalah mengutamakan kepentingan nasional, misalnya yang telah berlaku dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak berpuluh tahun.
“Kita melihat ada perubahan komitmen signifikan persekutuan berhubung MA63 di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini.
“Namun, kita tidak boleh bergantung kepada cara dan sikap kepimpinan individu, tetapi perlunya struktur yang kondusif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu juga berkata, sekiranya ada struktur yang menjamin bahawa hubungan persekutuan dan negeri akan bersifat inter-governmental, dan bukannya intra-parti, kepentingan negeri akan sentiasa mendapat keutamaan, maka hal yang tidak wajar dapat dielakkan.
“Kita tidak menolak kepentingan nasional perlu dipelihara, tetapi biarlah perjuangan itu diterajui oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Papar itu juga berkata, komitmen persekutuan terhadap MA63 ini boleh berubah dengan peralihan pimpinan kerajaan Persekutuan.
Katanya, inilah falsafah disebalik teras pertama perjuangan GRS iaitu Sabah First yang bermaksud agenda negeri diutamakan.
“Perlu diingatkan GRS ingin menjadi teras kepada kerajaan di peringkat negeri dan pilihan raya yang bakal kita hadapi adalah untuk memilih kerajaan negeri.
“Kita akan sokong parti nasional menjadi teras kepada kerajaan Persekutuan, dan biarlah parti lokal menjadi teras kepada kerajaan Negeri.
“Kita tidak menolak dan mengalu-alukan kerjasama dengan parti nasional dalam pilihan raya negeri, selagi mana mereka menerima bahawa parti lokal perlu diberi ruang menjadi teras kerajaan negeri dengan bertanding lebih banyak kerusi.
“Kamu (parti nasional) pimpinlah kerajaan Persekutuan dan kita akan sokong dan beri kerjasama, dan biar parti lokal memimpin kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya lagi, model itulah yang sedia mencorak bentuk kerjasama dalam Kerajaan GRS+PH Plus pada hari ini.
Hadir sama dalam persidangan itu ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi.
