Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Razali Razi menyatakan hasrat peribadi beliau untuk terus memastikan dan melihat Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Ini yang penting dan dalam perjuangan saya, di bahagian saya, memang ini yang jadi fokus, dan saya anggap ini sebagai aspirasi apabila dicadangkan supaya saya menjadi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Darau 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurut Razali yang juga merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Gagasan Rakyat juga adalah parti yang menentang budaya dominasi dalam kerjasama politik.
“Kita dalam Gagasan Rakyat, kita tegaskan betapa pentingnya untuk silaturahim, hubungan harmoni antara parti-parti komponen dijaga, kerana ini perlu untuk menjamin kestabilan politik di Sabah.
“Gagasan Rakyat tidak mahu tunjuk lagak dan kita tidak mahu dianggap atau dipandang umpama parti ‘abang besar’ dalam gabungan.
“Kita kena faham, tujuan gabungan adalah kerana perjuangan kita meletakkan kepentingan rakyat di atas, melebihi kepentingan peribadi kita sendiri atau parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Razali turut menegaskan bahawa keharmonian antara parti-parti komponen juga adalah kunci kepada kejayaan sebuah gabungan.
“Kita belajar daripada pengalaman, jalinkan hubungan erat, hormat-menghormati sesama parti-parti komponen yang menjadi rakan dalam gabungan kita.
“Dalam situasi seumpama ini, kita kena buka minda dan berfikir dengan skop lebih luas, dan secara peribadi, saya terbuka dan terima apa saja keputusan Presiden parti misalnya untuk soal calon nanti, yang penting kita di Darau tekad untuk hadiahkan kerusi ini, kemenangan ini, untuk Presiden kita,” jelasnya lagi.
Hadir merasmikan persidangan itu ialah Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Seramai 1,200 deligasi persidangan Darau dari semua cawangan hadir.
Terdahulu, turut berlangsung persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Bahagian Darau.
