Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Dominasi Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Semporna yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat parti itu dijangka bakal dicabar hebat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Semporna yang telah sekian lama berada di bawah pimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak era beliau bersama UMNO dan kini Warisan kini menjadi perhatian apabila Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mula menampilkan barisan kepimpinan baharu yang turut mempunyai hubungan rapat dengan legasi politik tempatan.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang memberitahu bahawa trend perubahan sokongan itu didorong oleh pelbagai pendekatan akar umbi yang dilaksanakan PGRS, khususnya dalam sektor pendidikan, budaya dan sukan.
“Pemuda Gagasan Rakyat Sulabayan di Semporna dilihat berjaya mendekati golongan pemuda, melalui gerak kerja yang diperkenalkan, iaitu melalui sektor pendidikan, budaya, sukan dan inilah harapan kita, pemuda menjadi pemimpin seperti mana apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah pula menyatakan bahawa keinginan rakyat untuk perubahan semakin jelas, termasuk dalam kalangan keluarga terdekat kepada pemimpin Warisan sendiri.
“Kalau tidak ada halangan, saudara Rashdey akan diletak untuk calon ADUN bagi Senallang, ini adalah antara keluarga dalam tokoh pemimpin Warisan yang ada di Semporna, iaitu Shafie.
“Kita faham bahawa anak-anak muda serta keluarga mereka inginkan satu perubahan dalam kepimpinan Warisan dan saya yakin bahawa dalam politik, apa pun boleh berlaku,” katanya.
Mereka berdua ditemui ketika menghadiri Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat Sulabayan dan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Senallang yang berlangsung di sini, pagi kelmarin.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Gagasan Rakyat Senallang Mohd Rashdey Datuk Sabardin dan Ketua Pemuda Gagasan Ramyat Sulabayan Akram Abd Rauf.
