Gagasan Rakyat mahu tawan Sulabayan

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan keyakinan untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang meskipun kawasan itu dianggap kubu kuat Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ahli Majlis Tertingginta, Datuk Isnin Aliasnih berkata, parti itu bersama rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meletakkan calon di semua kerusi di Semporna termasuk di Sulabayan.

“Di Sulabayan, walaupun kita tahu di sini adalah tiga-tiga DUN dikuasai oleh Parti sebelah atau Parti Warisan, tetapi kita yakin dengan semangat yang ada pada hari ini, semangat kehadiran para perwakilan yang menunjukkan komitmen dan sokongan kepada parti ini, bahawa kita tidak merasa bimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui New Sabah News, selepas hadir merasmikan Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Sulabayan di sini, pagi tadi.

Ketika ini, kerusi DUN Sulabayan disandang oleh Datuk Dr. Jaujan Sambakong dari Parti Warisan yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah. 

Kawasan itu meliputi Pulau Bum-Bum dan beberapa pulau lain di sekitar Semporna.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang.

Tinggalkan komen