1,550 penari tarian igal-igal pecah rekod Malaysia

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Daerah Semporna sekali lagi mencipta sejarah apabila seramai 1,550 penari tarian igal-igal berjaya memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR), menjadikannya penyertaan penari kebudayaan terbanyak dalam satu acara di Malaysia.

Pencapaian luar biasa itu direkodkan sempena Pesta Regatta Lepa ke-30, menerusi segmen khas yang dinamakan “Teriak Nigal Legal”, sekali gus melepasi sasaran asal penganjur iaitu 1,000 peserta.

Acara tersebut bukan sahaja menarik perhatian ribuan pengunjung tempatan, malah turut disertai pelancong antarabangsa, menjadikannya simbol kebanggaan masyarakat Bajau dalam memperkukuh warisan budaya maritim ke peringkat nasional.

“Alhamdulillah, ini merupakan segmen baharu yang pertama kali diperkenalkan dalam Regatta Lepa. Tarian igal-igal ini adalah lambang jati diri masyarakat Bajau di Semporna. Hari ini, kita buktikan bahawa budaya ini masih hidup dan relevan,” kata Wakil Pegawai Daerah Semporna, Abdul Azis Abdul Bool.

Menurut beliau, idea penganjuran acara tersebut dicetuskan oleh penggiat seni tempatan sebelum diangkat sebagai inisiatif rasmi pihak penganjur dalam usaha memperkasakan seni tradisi melalui pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Tarian igal-igal yang berasal daripada budaya masyarakat Bajau memainkan peranan penting dalam setiap penganjuran Regatta Lepa.

“Gerak tari yang lembut, berseni dan berirama ini sering dikaitkan dengan kemegahan hidup di laut serta kekayaan nilai estetika komuniti maritim.

“Dengan kejayaan ini, kita bukan sahaja mencipta sejarah tetapi memberi makna besar kepada budaya Bajau. Ini adalah tinta emas dalam pembangunan seni dan warisan Sabah,” tambahnya lagi.

Pengiktirafan rasmi disahkan oleh Pegawai MBOR Megat Faris Megat Muzaffar Shah dan katanya rekod tersebut adalah yang pertama dalam kategori tarian budaya di Semporna dan Sabah secara keseluruhan.

“Sejak penubuhan MBOR pada 1995, banyak pencapaian telah direkodkan di Sabah.

“Namun ini adalah yang pertama seumpamanya di Semporna. Ia mencerminkan komitmen tinggi masyarakat dalam memartabatkan warisan mereka,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap penyertaan besar-besaran tersebut dan menyifatkannya sebagai simbol keunikan seni tempatan yang wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Sementara itu, Pengurus Acara Regatta Lepa 2025 Jasni Mohd Yaakub, berkata penganjuran tahun ini turut menampilkan pelbagai acara menarik termasuk Pertandingan Ratu Lepa, persembahan artis budaya tempatan dan kebangsaan, serta majlis pengiktirafan tokoh budaya pada malam 29 Jun.

“Saya terlibat dalam Regatta Lepa sejak tahun 1990-an.

“Tahun ini antara yang paling istimewa kerana kita bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-30, malah berjaya mencatat sejarah besar untuk negeri dan negara,” katanya.

Regatta Lepa 2025 dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung, sekali gus menjadikannya antara pesta kebudayaan terbesar negara yang berjaya mengangkat tarian igal-igal ke pentas pengiktirafan nasional.

Tinggalkan komen