Wujudkan majlis vape, atasi isu salah guna: Pemain industri

KOTA KINABALU: Penubuhan Pemantauan Vape Malaysia dilihat mampu menjadi wadah kepada usaha bagi mengekang isu penyalahgunaan vape khasnya dalam kalangan belia, termasuk pelajar sekolah.

Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil berkata, penubuhan majlis itu adalah usaha yang relevan dan boleh diwujudkan di bawah pemantauan kerajaan, dengan menggabungkan kerjasama pelbagai agensi.

“Misalnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Shahabudeen, penubuhan majlis itu akan menekankan aspek kawal selia industri vape secara menyeluruh.

“Ini termasuk dari aspek pengilangan, pengedaran, kawalan produk dan penguatkuasaan di lapangan dapat diselaraskan dengan lebih bersepadu dan menyeluruh.

“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang berlaku sekarang telah menjadi kebimbangan baru yang tidak wajar untuk dipandang remeh atau dianggap mudah.

“Sebagai syarikat tempatan berdaftar sejak 2019 dan mematuhi piawaian ketat kawal selia, Nanostix komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan ini kerana kita bimbang dan sedar bahawa masalah ini perlu ditangani segera,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan agar mengharamkan penjualan terbuka peranti vape serta cecair isian semula secara sepenuhnya dan hanya membenarkan peranti yang dikawal, dipantau dan berdaftar dijual di pasaran.

“Sesungguhnya kita berharap agar penguatkuasaan di pintu sempadan negara dapat ditingkatkan bagi kerana kita perlu komited untuk mengekang penyeludupan cecair haram.

“Selain itu juga, kita ingin menyeru agar kerajaan turut mempergiat usaha pemantauan berkala di premis tempatan kerana ini juga amat penting untuk dilaksanakan, seiring dengan usaha lain seperti melancarkan kempen kesedaran di sekolah bagi mendidik belia berkenaan bahaya penyalahgunaan dadah di dalam peranti vape.

“Kita juga yakin usaha ini mesti melibatkan pelbagai pihak, sekaligus direalisasikan dengan kadar segera kerana ini adalah satu langkah tuntas bagi membentuk generasi baru kita yang sihat, bebas daripada dadah,” jelasnya lagi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas isu tersebut dan menyatakan bahawa usaha khusus perlu diambil untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan vape.

Katanya, masalah itu adalah amat serius kerana melibatkan masa depan negara dan belia yang bakal menjadi peneraju negara kelak.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil  turut memberitahu bahawa kerajaan bakal mengambil tindakan serius kepada platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah yang dicampur dalam cecair vape.

Tinggalkan komen