Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited dalam usaha memperkukuh dasar pembangunan holistik dan menyeluruh menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sejak diperkenalkan dasar itu nyata memberi impak ketara terutama dalam aspek pemulihan ekonomi, pelaburan, pertanian, pembangunan modal insan dan kebajikan rakyat.
“Alhamdulillah, kita menyaksikan peningkatan pelaburan dan hasil negeri yang memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekaligus membuktikan keberkesanan dasar dan pendekatan yang dilaksana kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Negeri Sabah bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha pembangunan sektor pertanian menerusi pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta pelancaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
“Usaha ini bertujuan bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras Sabah daripada 24 peratus pada 2025 kepada 60 peratus menjelang 2030, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan modal insan juga khususnya belia.
“Ini dilaksanakan melalui program pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan sukan.
“Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Sabah bagi menyelaras pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional selari dengan keperluan industri semasa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan penghargaan atas hubungan baik serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan penting dalam memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan nasional.
“Komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mempertahan hak dan kedaulatan Sabah, termasuk menolak tuntutan pihak luar terhadap negeri ini di peringkat antarabangsa, amat dihargai,” tambahnya lagi.
Beliau turut merakamkan ucapan junjung kasih serta tahniah kepada Tun Musa sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-74 dan mendoakan agar beliau serta Toh Puan sentiasa diberi kesihatan yang baik serta keberkatan berterusan.
Majlis istiadat itu turut dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan negeri, ketua jabatan, barisan penerima darjah kebesaran serta dif-dif jemputan.
