Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang dijangka selesai Ogos ini: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kementeriannya kini dalam fasa akhir untuk melaksanakan Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dijangka selesai Ogos ini.

“Kajian ini sudah bermula sejak April 2024 dan tujuan kajian ini diadakan ialah kerana kita ingin mengenalpasti semua perundangan e-dagang, skop kawal selia serta kekurangan perundangan sedia ada.

“Selain itu, kita juga mahu mengenalpasti perlaksanaan perundangan e-dagang di peringkat antarabangsa, mengkaji isu serta keperluan industri dan pengguna e-dagang dalam negara, dan pastinya kita juga mahu mengemukakan cadangan perundangan baru atau pindaan untuk tujuan kaedah kawal selia e-dagang terbaik kepada pihak kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sesi sidang media selepas hadir merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP2025) Peringkat Negeri Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Menurut Armizan, kementeriannya juga bakal mengadakan sebuah sesi townhall bersama pemain industri bagi membincangkan perihal berkaitan e-dagang yang dijangka berlangsung pada 17 Julai 2025.

“Kita ada beberapa sesi libat urus yang mana melibatkan 63 entiti termasuk organisasi awam, swasta dan industri yang mana kita juga sudah membuat tinjauan bersama firma dan pengguna e-dagang.

“Dapatan yang kita peroleh hasil libat urus dan kajian berkaitan ini, akan kita teliti secara menyeluruh dan kita susun dalam bentuk syor dasar yang komprehensif.

“Cadangan ini kita akan bawa kepada Jemaah Menteri bagi dipertimbangkan dan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen  untuk tujuan pindaan atau menggubal undang-undang yang berkaitan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Armizan turut menegaskan bahawa kementeriannya memandang serius  potensi dan sumbangan yang mampu dijana daripada sektor e-dagang.

“Kita sasarkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.65 trillion untuk tahun 2025 dan ini adalah usaha serta komitmen kita untuk menggerakkan prestasi sektor perdagangan dan pengedaran.

“Semoga kita akan terus mampu untuk melaksanakan segala usaha dan strategi melalui pendekatan seluruh negara dalam memanfaatkan pendigitalan sebagai teras lonjakan,” jelasnya.

Sementara itu, Armizan turut mengulas berkenaan PPP2025 dan katanya, usaha itu adalah inisiatif baru Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam menyokong agenda pembangunan perniagaan usahawan B40 melalui pendigitalan.

“PPP2025 kita singgah di Sabah sebagai destinasi pertama daripada tiga siri yang dirancang termasuk Pulau Pinang dan Terengganu.

“Hari ini, SSM juga menyampaikan Wakalah Zakat Korporat (WZK) berjumlah RM107,518 dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM45 ribu kepada golongan yang memerlukan di Sabah,” ujar.

Tinggalkan komen