Oleh: Adaria Robert
KOTA KINABALU: 80 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi turut serta dalam menyerikan perarakan Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-74 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Padang Merdeka, pagi tadi.
Perarakan itu merupakan sambutan ulang tahun rasmi pertama Tun Musa sejak dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri dan turut dihadiri isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Ketibaan pasangan itu disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.
Majlis dimulakan dengan pemeriksaan pasukan kawalan kehormatan utama oleh Tun Musa, diiringi 17 das tembakan meriam dari Bukit Bendera sebagai simbol penghormatan.
Tun Musa kemudian menaiki kenderaan istiadat untuk memeriksa barisan 80 kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan tarian kebudayaan khas oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Sabah serta upacara memotong kek.
Upacara perarakan kemudiannya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri yang diadakan di Istana Seri Kinabalu.
