19 pengamal media terima anugerah negeri sempena Ulang Tahun Rasmi ke-74, Tun Musa Aman

Oleh: Elrwin Richard

KOTA KINABALU: Seramai 19 pengamal media dari pelbagai organisasi media tempatan dan nasional menerima anugerah negeri sempena ulang tahun rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman.

Mendahului senarai penerima ialah wartawan kanan veteran, Emin Madi, yang dikurniakan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Turut menerima anugerah ialah Ketua Wartawan See Hua Daily News, Yong Ted Phen, yang dikurniakan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK).

Enam orang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), iaitu Ketua Wartawan The Borneo Post Sabah Nancy Lai, Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli, Wartawan Kanan Malay Mail Julia Chan, Wartawan Kanan The Vibes Jason Santos, Editor Kandungan Pelbagai Platform Astro Awani Assim Mohamad Hassan dan Wartawan Sambilan Daily Express Marutin Ansiun.

Selain itu, sebanyak 11 pengamal media pula dikurniakan Bintang Setia Kinabalu (BSK), termasuk Wartawan Kanan The Borneo Post Sabah Jenne John Lajiun, The Star Stephanie Lee, Wartawan Daily Express Sherell Ann Jeffrey dan Larry Ralon, Wartawan Overseas China Daily News Wong Chian Kyun, Wartawan Sabah Media Normimie Diun, Wartawan Astro Awani Sabah Abdul Hafiz Mustadi, Wartawan RTM Sabah Salmariwaya Sali, Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Sabah Dr. Diana Dominic, Jurugambar Azman Jumat, dan Jurugambar Kanan Bernama Sabah Zamain Singkui.

Anugerah yang diberikan merupakan pengiktirafan kepada sumbangan berterusan pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih, berintegriti dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Sabah.

Penghargaan atas ketelusan, tanggungjawab, dan integriti kepada barisan pengamal media adalah bukti bahawa peranan media sentiasa diiktiraf dan dihargai.

Tinggalkan komen