KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir meminta agar Kerajaan Negeri untuk memikirkan dan berusaha mencari la glah strategik yang akan disediakan bagi melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah, daripada kesan kenaikan kos sara hidup.
“Sabah adalah antara negeri paling terkesan dengan ketidakseimbangan pembangunan dan ketaksamaan pendapatan.
“Kira-kira 40% isi rumah tergolong dalam kategori B40, majoritinya bergantung kepada sektor tidak formal dan ekonomi sara diri.
“Dalam keadaan ini, SST yang dilaksanakan akan memberi tekanan besar kepada kuasa beli rakyat, terutamanya di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Suhaimi, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diakui penting untuk menambah hasil negara, namun tanpa dasar sokongan yang adil dan menyeluruh, ia akan menjadi beban kepada rakyat biasa.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri harus segera memperkenalkan langkah-langkah seperti subsidi bersasar, perluasan kawalan harga barang keperluan, dan bantuan tunai bersyarat untuk memastikan kesan cukai ini dapat diimbangi dengan sokongan yang berkesan.
“Hasil kutipan cukai juga mesti dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya luar bandar, klinik desa, bekalan air bersih dan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan.
“Rakyat Sabah berhak tahu ke mana wang itu disalurkan dan bagaimana ia membantu meringankan beban kehidupan mereka kerana kepercayaan rakyat bukan datang dari slogan, tetapi dari tindakan yang benar-benar mengutamakan mereka yang paling memerlukan,” katanya lagi.
Sabah bakal melaksanakan SST sepenuhnya bermula 1 Julai akan datang.
