Ibu Pejabat MPP bangunan hijau pertama di Sabah

PENAMPANG: Usaha memperkukuh amalan kelestarian dan inovasi dalam perkhidmatan awam, diteruskan dengan langkah awal yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dengan menjadi bangunan kerajaan pertama mendapat pengiktirafan Sijik Green Building.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata pencapaian itu adalah bukti komitmen MPP dalam menyahut cabaran global berkaitan perubahan iklim, pengurusan tenaga serta pengurangan pelepasan karbon.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan dan Pengiktirafan Green Building ini mencerminkan komitmen MPP untuk mengurus bangunan secara mampan, melalui langkah-langkah seperti pemasangan sistem solar, penggunaan peralatan cekap tenaga serta penggunaan lampu LED.

“Kejayaan ini selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah sebagai negeri yang pintar, mampan dan responsif terhadap isu-isu alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“Pengiktirafan Green Building diberikan kepada bangunan yang memenuhi piawaian kelestarian, termasuk kecekapan tenaga, pengurusan air, penggunaan bahan binaan mesra alam serta reka bentuk yang menyokong kitar semula dan pengudaraan semula jadi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap sewaktu hadir merasmikan program itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Joachim turut merasmikan Aplikasi e-Adu serta Command Centre MPP dalam satu acara bersepadu itu.

“Kejayaan MPP ini juga bertepatan dengan Teras Ketiga dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menumpukan kepada Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam, termasuk pembangunan mampan dan teknologi hijau sebagai antara tumpuan utama.

“Saya ingin memuji keberanian MPP dalam mencuba teknologi baharu yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi jangka panjang, tetapi juga menyumbang kepada usaha global menangani perubahan iklim.

“Selain itu, pelancaran Aplikasi e-Adu dan Command Centre MPP turut menandakan permulaan era baharu dalam tadbir urus digital dan pengurusan berasaskan data di peringkat kerajaan tempatan,” katanya lagi.

Command Centre itu dilengkapi dengan sistem pemantauan CCTV yang bukan sahaja digunakan untuk tujuan keselamatan dan pemantauan trafik, malah membantu dalam pengurusan bencana seperti banjir dan kejadian luar jangka.

Aplikasi e-Adu pula membolehkan rakyat menyalurkan aduan secara lebih mudah, telus dan pantas, selaras dengan aspirasi membina bandar yang responsif dan berpusatkan rakyat.

“Pendekatan baharu ini menggambarkan bagaimana MPP bergerak ke arah sebuah bandar pintar atau ‘Smart City’, yang berpaksikan teknologi dan data untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti hidup rakyat,” jelas beliau.

Joachim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan projek ini, khususnya mantan Presiden MPP Francis Chong, serta Benny Ng dan SHAREDA yang banyak menyumbang dari segi kepakaran teknikal dan profesional.

Beliau menyeru agar kejayaan itu dicontohi oleh ramai pihak dan dijadikan sebagai penanda aras kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Sabah, agar terus berinovasi dan mengutamakan kelestarian dalam perancangan serta pelaksanaan pembangunan. 

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Jannie Lasimbang, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr. Jamili, Timbalan Presiden MPP Noemi Dyena Johntren, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kerajaan Digital Sabah Disney Lai, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang (mewakili Ahli Parlimen Penampang) Carl Masoom, Presiden SHAREDA Datuk Johnny Wong, Pengarah Eksekutif GreenRE Sdn Bhd Ir. Ashwin Thurairaja dan Ketua Jabatan Pentadbiran Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) Salina Salimi. 

Tinggalkan komen