SST wajar, tapi jangan sampai bebankan rakyat: Puteri UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal berkata pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke Sabah bermula 1 Julai depan adalah satu perkara yang dikhuatiri membebankan, jika tiada perancangan teliti dan pendekatan bersasar dibuat.

“Saya ingin menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke Sabah dan jika diteruskan tanpa perancangan teliti dan pendekatan bersasar, akan menjadi satu lagi tekanan besar kepada rakyat Sabah yang selama ini telah menanggung pelbagai kekangan ekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan.

“Rakyat Sabah pada ketika ini sedang berjuang dalam realiti kehidupan yang tidak sama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata pendapatan bulanan rakyat Sabah masih sekitar RM1,870 jauh di bawah purata nasional yang mencecah RM2,800 dan ini merupakan cerminan kepada ketidakseimbangan struktur ekonomi dan pasaran pekerjaan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan keadaan semasa yang mana kuasa beli rakyat yang masih berada di tahap rendah, kos tambahan dari peluasan SST nyata menjadi sebuah beban.

“Bagaimana mungkin rakyat mampu menampung kos tambahan yang bakal datang dengan peluasan SST?

“SST tidak salah pada dasarnya, tetapi melaksanakannya secara tergesa-gesa dalam landskap ekonomi Sabah yang masih rapuh akan memberikan impak yang amat besar kepada golongan paling rentan ibu tunggal, peniaga kecil, petani desa, nelayan serta anak-anak muda yang masih mencari tapak dalam dunia pekerjaan.

“Kita tidak boleh sekadar melihat angka makro, tetapi perlu memikirkan makna setiap sen bagi rakyat marhaen yang kini bergelut untuk membeli susu anak atau membayar sewa rumah,” katanya lagi.

Tambah Ummi lagi, banyak pihak di lapangan termasuk peniaga kecil dan pembekal masih keliru tentang butiran pelaksanaan SST tersebut.

“Ada yang tidak tahu produk mana dikenakan cukai lima peratus  mana pula 10 peratus, dan mana yang dikecualikan sepenuhnya.

“Kekeliruan ini hanya akan membuka ruang kepada tindakan tidak wajar oleh segelintir peniaga yang, dalam usaha untuk melindungi keuntungan mereka, mungkin akan mengenakan kadar tertinggi kepada semua produk dan akhirnya, beban itu akan kembali kepada pengguna.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan yang perlu dijawab oleh pihak kerajaan, adakah kutipan hasil negara kini bergantung kepada poket rakyat miskin di Sabah? dan apakah tiada strategi yang lebih adil dan mampan untuk merapatkan jurang fiskal tanpa mengenakan beban tambahan kepada negeri yang masih ketinggalan seperti Sabah?,” soalnya lagi.

Ummi menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak menolak tanggungjawab sebagai penyumbang kepada pembangunan negara namun pelaksanaan dasar cukai seperti SST haruslah berpaksikan keadilan wilayah dan kepekaan terhadap keunikan struktur ekonomi Sabah.

“Kita perlukan dasar yang inklusif dan progresif, bukan langkah regresif yang menekan golongan berpendapatan rendah semata-mata kerana mereka lebih mudah dikenakan cukai.

“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan peluasan SST di Sabah buat sementara waktu sehingga kajian impak yang menyeluruh dapat dijalankan dengan penglibatan wakil industri, akademik dan masyarakat sivil di Sabah.

“Kita tidak boleh melaksanakan dasar nasional secara pukal tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi wilayah yang tidak sama rata,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menggesa Kerajaan Negeri untuk merangka dasar ekonomi yang lebih strategik dan berfokus dengan kasar segera, untuk mengurangkan impak pelaksanaan SST.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pemberian insentif sementara kepada usahawan kecil, penstrukturan semula subsidi barang asas dan peluasan bantuan bersasar kepada keluarga berpendapatan rendah.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak mampu untuk mengambil risiko terhadap kesan domino ekonomi yang akan memburukkan lagi jurang ketaksamarataan. 

“SST ini bukan soal dasar semata, tetapi berkait rapat dengan kehidupan harian rakyat soal makan, soal kesihatan, soal masa depan anak-anak kita,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen