Kerajaan Negeri peka, prihatin nasib pesakit buah pinggang: Razeef

KOTA KINABALU: Ketua Cabang Keadilan Tuaran, Razeef Rakimin berkata Kerajaan Negeri Sabah sentiasa peka dan prihatin kepada nasib rakyat lebih-lebih lagi kepada pesakit yang memerlukan rawatan berterusan seperti pesakit buah pinggang.

“Melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), sebanyak 100 mesin hemodialisis tambahan kepada hospital dan klinik kerajaan di seluruh Sabah disumbangkan.

“Peruntukan sebanyak RM8.5 juta meliputi RM4 juta untuk subsidi rawatan dan RM4.5 juta bagi perolehan peralatan dapat meringankan beban pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESRF), terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, malam tadi.

Jelas Razeef lagi, manfaat itu diberikan kepada 23 buah hospital dan dua klinik di Sabah bagi tujuan menjalankan dialisis.

“Pemberian mesin ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menambah baik perkhidmatan rawatan bagi memastikan pesakit mendapat akses rawatan yang mencukupi dan berkualiti. 

“Mesin tersebut juga berteknologi baru dibandingkan mesin sedia ada.

“Selain itu pesakit yang menjalani rawatan di rumah atau melalui Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD) akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM100,” katanya lagi.

Tambah Razeef, sebelum ini Keadilan Tuaran juga telah meluluskan permohonan bantuan kewangan 40 pesakit ESRF namun ia juga masih belum mencukupi.

“Selain kos yang tinggi, kekurangan mesin dialisis juga menyukarkan lagi pesakit.

“Di bawah inisiatif Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) ‘Sabah Sejahtera’, kita yakin keutamaan adalah kesekahteraan rakyat dan sudah tentu Keadilan menyambut baik inisiatif ini,” jelasnya.

Razeef turut menzahirkan harapannya untuk melihat lebih banyak peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan kesihatan di seluruh negeri Sabah diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan pada masa akan datang.

“Penting untuk sektor kesihatan ditingkatkan bagi menaik taraf perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan termasuk kemudahan awam yang digunakan pesakit dan pelawat.

“Semoga Kerajaan Persekutuan akan memberikan lebih banyak peruntukan bagi tujuan ini,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen