Dua individu bergelar Datuk disyaki terima dan minta rasuah RM200 ribu

KOTA KINABALU: Dua individu lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an bergelar Datuk ditahan kira-kira pukul 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan juga di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan kedua-dua suspek kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi turut mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek merupakan seorang ahli perniagaan dan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 (deposit sebanyak RM10,000) dengan dua orang penjamin.

Manakala seorang lagi suspek iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tinggalkan komen