Sukan pembentuk insan hebat: Zaidi

Oleh: Stringer

KOTA MARUDU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah merangkap Ketua Cabang Keadilan Kota Marudu, Zaidi Jatil berkata sukan mampu menjadi satu wadah dalam membentuk jati diri insan yang hebat.

“Sukan bukan sekadar menang atau kalah tetapi ia adalah wadah membentuk sahsiah, disiplin, dan ketahanan mental.

“Melalui aktiviti kesukanan juga, seseorang dapat belajar untuk membentuk disiplin dengan mematuhi peraturan, menghargai rakan sepasukan dan juga memupuk semangat tidak mudah menyerah kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu kali ke-51 di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, acara sukan di peringkat sekolah juga membentuk semangat kerjasama antara guru dan sekolah, khasnya dalam usaha untuk melahirkan atlet berkualiti.

“Kejayaan setiap atlet itu sudah pasti ada seorang guru yang hebat dibelakang yang tidak kenal erti penat dan terus membimbing mereka untuk berjaya. 

“Saya menyeru agar sektor pendidikan Kota Marudu terus memberi keutamaan kepada pembangunan sukan, bukan sebagai aktiviti sampingan tetapi sebagai sebahagian daripada pembinaan modal insan holistik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaidi juga memberitahu bahawa dalam komuniti masyarakat majmuk yang harmoni, acara sukan juga berpotensi sebagai ruang mendidik dan memupuk semangat setia kawan serta perpaduan dalam kalangan generasi muda. 

“Dalam acara seperti ini, kita melihat pelajar dari pelbagai kaum, sekolah dan latar belakang datang bersama sebagai satu keluarga besar. Inilah kekuatan kita kepelbagaian yang menyatu.

“Sukan menyatukan masyarakat dan tidak ada jurang perbezaan antara yang kaya atau miskin, bangsa atau agama apabila kita bersama bersorak, bertanding dan menyokong satu sama lain.

“Saya yakin, daerah ini mampu menjadi daerah cemerlang yang boleh melahirkan ramai atlet yang kelak akan mengharumkan nama Sabah dan Malaysia,” tambahnya.

Zaidi turut menyeru semua pihak untuk menyokong usaha murni dalam memupuk semangat kesukanan dan membangunkan generasi baru yang aktif dalam kegiatan suka 

“Ia memerlukan perancangan berterusan pelaburan dalam kemudahan sukan, dan komitmen semua pihak termasuk guru, ibu bapa, pemimpin masyarakat, dan kerajaan.

“Saya menyeru agar kita menyokong penuh pembangunan sukan akar umbi. Bukan sahaja demi piala dan pingat, tetapi demi masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.

Zaidi turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM7,000 kepada kontinjen yang mewakili daerah itu yang bakal bertanding di peringkat negeri, di Tambunan kelak.

“Semoga sedikit sumbangan ini mampu membantu dan menjadi suntikan semangat bagi para guru dan atlet ke peringkat negeri minggu hadapan,” katanya. 

Tinggalkan komen