KOTA MARUDU: Jentera parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) diseru untuk menguatkan perpaduan dan tidak menjadikan jurang perbezaan sebagai alasan untuk berpecah, lebih-lebih lagi bagi berdepan fasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, sekarang adalah fasa penting untuk semua pihak memberi keutamaan kepada usaha mempertahan kerajaan yang disandang pada hari ini dan bukannya isu-isu lain yang boleh melemahkan parti.
“Kita teruskan berjuang dan perlu letak fokus kepada perjuangan bagi memastikan kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Hajiji Noor berjaya mendapat mandat baharu daripada rakyat dalam membawa kemajuan dan pembangunan negeri Sabah.
“Gerak kerja kita perlu bersepadu, saling sokong-menyokong, saling menutupi ruang kelemahan dan kekurangan yang ada, serta saling menjayakan apa sahaja program yang dirancang. Ibarat tiang rumah yang menyokong serta batu-bata yang saling mengukuh.
“Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan perselisihan, selesaikan sahaja di meja rundingan. Jangan gunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, kerana tiada kebaikan yang diperoleh kepada parti, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengalahkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat bahagian Bandau di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, baru-baru ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Datuk Maijul Mahap yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau serta jawatankuasa Gagasan Rakyat Bandau dan sayap-sayap tiga pergerakan.
Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, perpaduan dalam kalangan jentera akan menterjemahkan semangat saling menghormati antara anggota serta kesetiaan kepada kepimpinan.
“Tanpa perpaduan dan kesetiaan usaha dan kerja keras kita akan menjadi sia-sia.
“Apa lagi untuk kita pertahankan kerajaan yang diteraju Presiden parti dan amat penting bagi kita semua untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dibuktikan oleh Ketua Menteri kita, malah Sabah hari ini begitu stabil, makmur dan terus bergerak maju di bawah kepimpinan beliau,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Redonah turut mengingatkan jentera parti berkenaan usaha parti lawan untuk sentiasa mencari kelemahan dan keburukan Gagasan Rakyat bagi menarik sokongan rakyat.
“Mereka akan berusaha menanam kebencian serta memutar-belitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai khususnya ketika pilihan raya yang semakin hampir.
“Sehubungan itu katanya, semua pihak tidak lagi boleh leka dalam melaksanakan gerak kerja termasuk menyalurkan maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat,” ujarnya lagi.
