Rakyat yang dominan, bukan parti: Salleh

KUNAK: Bendahari Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Dr. Salleh Said Keruak menegaskan bahawa masa depan politik Sabah tidak boleh terus dibelenggu oleh sentimen perkauman sempit atau perbalahan antara parti tempatan dan parti nasional.

“Kita jangan terperangkap dalam perdebatan siapa lebih baik, parti tempatan atau parti nasional.

“Bagi saya, yang paling penting bukan label parti, tetapi siapa yang betul-betul membawa suara rakyat.

“Yang dominan mesti rakyat Sabah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Pelancaran Program Radu Tatap Radu Peringkat Daerah Mengundi Pangi di Kunak di sini, hari ini.

Menurut beliau, hal yang sepatutnya menjadi kuasa penentu dalam politik Sabah bukanlah jenama parti, tetapi suara dan aspirasi rakyat Sabah sendiri.

Katanya, parti hanyalah wadah, dan yang lebih utama ialah bagaimana wadah itu digunakan untuk memperjuangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat.

“Saya dari Barisan Nasional, parti nasional, tetapi saya percaya masa depan Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah.

“Kita harus pilih pemimpin yang bekerja untuk semua, bukan yang hanya mainkan sentimen sempit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Salleh turut menyeru rakyat Sabah, khususnya di pantai timur seperti Kunak, supaya menolak politik perkauman dan kebencian yang boleh memecahbelahkan perpaduan negeri ini.

“Kita perlukan wakil rakyat yang boleh bantu selesaikan masalah rakyat. Rakyat mahu penyelesaian, bukan retorik,” tambahnya.

Program Radu Tatap Radu itu menghimpunkan penduduk setempat dan pemimpin masyarakat akar umbi.

Sambutan hangat yang diterima mencerminkan hasrat rakyat Sabah untuk melihat politik yang lebih matang, inklusif dan berpaksikan kehendak rakyat.

Sementara itu dalam ucapan perasmian nya, Pengarah Program Radu Tatap Radu UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan pula mengesa agar semua jentera ahli untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya negeri yang akan datang.

“Kunak telah nampak perubahan pembangunan mahupun di pekan atau di kampung sejak Barisan Nasional menerajui kerajaan negeri dahulu”, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai.

Tambah beliau, usaha itu juga adalah peluang untuk mengembalikan Barisan Nasional sebagai wakil rakyat Kunak.

Hadir sama dalam program itu ialah Datuk ADUN Dilantik merangkap Ketua UMNO Tenom Raime Unggi, Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Noraini Idris, Ketua Pemuda Sabah Sufian Abdul Karim, Ketua UMNO Lahad Datu Sharif Musa, Ketua UMNO Kota Kinabalu Musliati Muslimin, Ketua UMNO Tawau Ghazalie Ansing, Ketua UMNO Kalabakan Samsuddin Yusop dan pemimpin tempatan.

Tinggalkan komen