Akan terus perkasa usaha pelihara budaya pelbagai etnik: KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha untuk memperkasa warisan budaya rakyat berbilang kaum di Sabah akan terus dilaksanakan dengan pelbagai inisiatif kerana ia penting bagi memastikan khazanah budaya terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting untuk kita memastikan budaya tempatan agar kekal relevan dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang.

“Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi penjaga warisan yang akan mencorakkan masa depan negeri ini.

“Pemeliharaan warisan budaya penting untuk memastikan kesinambungan identiti, nilai, dan tradisi sesebuah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji turut menzahirkan harapan beliau kepada persatuan etnik di seluruh negeri untuk terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus ditelan zaman

“Dalam masa sama, budaya etnik ini juga akan membantu menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

“Sudah pasti ini akan membantu usaha kerajaan yang menyasarkan 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Turut hadir isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.

Hajiji berkata Hari Etnik bukan saja platform untuk memperkenalkan khazanah warisan etnik yang ada di Sabah tetapi ia juga medan penting dalam memperkukuhkan perpaduan.

“Ini platform perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum serta memupuk rasa bangga terhadap warisan masing-masing.

“Semangat muhibah dalam kepelbagaian adalah tunjang utama kekuatan rakyat di negeri ini dan untuk itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar belakang etnik atau agama.

“Inilah roh sebenar Hari Etnik Sabah. Semoga sambutan ini menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian dan seterusnya memperkukuh semangat kekitaan di bumi Sabah yang tercinta ini,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen