UMNO-BN Sabah tidak menyesuaikan kedudukan berdasarkan kenyataan pihak lain: Bung

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa UMNO BN Sabah tidak menyesuaikan kedudukannya semata-mata berdasarkan kenyataan pihak lain.

“Kita tidak menunggu lampu hijau daripada mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah.

“Lebih penting daripada itu, kenyataan ini perlu dinilai dalam kerangka yang lebih luas iaitu soal keabsahan politik, autonomi strategik, dan kejujuran dalam kerjasama antara parti.

“Barisan Nasional bukan menolak kerjasama. Tetapi BN tidak mahu bekerjasama hanya untuk menghiasi angka atau mengabsahkan kekuasaan yang rapuh,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Bung, parti itu mahu perlawanan secara adil dan saksama dan menjunjung makna kehormatan dalam rakan kerjasama politik.

“Kami mahu berkawan dan bekerjasama dengan mereka yang jujur bukan sekadar dalam perjanjian di atas kertas, tetapi jujur dalam pelaksanaan dasar, dalam menghormati peranan rakan, dan dalam memelihara integriti sistem politik.

“Kerjasama politik tanpa kejujuran ibarat membina rumah atas lumpur ia mungkin berdiri sebentar, tetapi pasti runtuh dalam ujian. 

“BN tidak akan lagi membina di atas lumpur. Kami telah belajar, dan rakyat juga telah menyaksikan persefahaman yang tidak berpaksikan niat yang tulus hanya melahirkan kerajaan yang lemah, tidak konsisten, dan tidak diyakini,” katanya lagi.

Jelas Bung, UMNO-BN Sabah juga sentiasa bersifat terbuka untuk bersaing secara demokratik.

“Pertembungan bukan sesuatu yang menakutkan dalam demokrasi. Malah, ia adalah medan terbaik untuk menilai siapa sebenarnya mendapat kepercayaan rakyat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan sokongan pinjaman atau formula pintas.

“Kepada rakyat Sabah, khususnya generasi muda dan kelas menengah yang semakin celik politik inilah waktunya untuk menilai semula landskap pilihan yang ditawarkan. 

“BN Sabah hadir bukan dengan slogan, tetapi dengan rekod. Kita pernah memimpin negeri ini ke arah pembangunan. Kita juga pernah diuji. Kini, kita kembali dengan tekad untuk memperbaiki, bukan sekadar mengulangi,” jelasnya lagi.

Bung turut menegaskan bahasa legitimasi datang daripada keyakinan rakyat dan ketulusan dalam perjuangan yang dipersembahkan kepada rakyat.

“Dalam ilmu politik, legitimasi tidak datang dari jumlah kerusi semata-mata, tetapi dari keyakinan rakyat terhadap kejujuran perjuangan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen