PAS Sabah kekal dengan prinsip PN, mesra GRS

Oleh: Sumayyah Rihanna

SANDAKAN: Walaupun PAS Sabah kekal menjalinkan hubungan mesra dengan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti itu menegaskan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan terus berpandukan kepada Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya PAS Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, berkata PAS kekal menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional dan segala rundingan politik akan tertumpu dalam kerangka gabungan itu, tanpa menolak realiti politik Sabah yang masih dinamik dan terbuka.

“Setakat ini, saya rasa saya masih sebahagian daripada yang mesra GRS, sebab GRS sebahagian daripada kerajaan. 

“Tapi dalam konteks negeri Sabah, PAS tetap berada dalam Perikatan Nasional. Perbincangan kita masih dalam sekitar PN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Karnival Keluarga Sandakan 2025, di sini, semalam.

Aliakbar berkata, suasana politik negeri ketika ini belum mencapai kata putus di mana-mana pihak, termasuk parti lain yang juga masih dalam proses mencari rakan gabungan strategik menjelang PRN akan datang.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kebangkitan semangat kenegerian melampau, yang menurutnya boleh menjejaskan perpaduan nasional dan keharmonian antara wilayah di Malaysia.

“Kadang-kadang menjelang pilihan raya, kita seolah-olah berpisah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu suburkan semangat Malaysia dan membangunkan negara ini bersama. 

“Jika terlalu membangkitkan semangat kenegerian, ia boleh membawa kepada segregasi yang lebih besar,” tegasnya.

Mengenai persiapan menghadapi PRN ke-17, Aliakbar berkata PAS masih belum menetapkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan belum mengadakan rundingan rasmi dengan mana-mana pihak.

“Yang pasti, insya-Allah kita akan bertanding. Tapi jumlah kerusi belum dibincang secara spesifik,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa calon-calon PAS akan dipilih berdasarkan kriteria integriti dan kefahaman agama yang kukuh.

“Kami akan mengetengahkan calon yang memahami amanah kepimpinan, mempunyai kesedaran terhadap dosa dan pahala, dan menjauhi rasuah serta salah guna kuasa.”

Tambahnya, walaupun PAS belum pernah memenangi sebarang kerusi di Sabah, parti itu akan terus meneruskan kerja-kerja kebajikan dan dakwah sebagai sebahagian daripada khidmat kepada rakyat.

“Jika rakyat melihat usaha itu baik, kami berharap sokongan yang baik akan diberikan kepada PAS,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen