Kuasa bukan hak milik mutlak, perlu kongsi: Salleh

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menegaskan bahawa semua parti dalam gabungan mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak wujud fenomena sebuah parti dominan menjadi ketua.

“Dalam politik hari ini, tiada parti yang sepatutnya bertindak seperti “bos” dalam sesebuah gabungan.

“Setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri dan layak dilayan sebagai rakan kongsi yang setaraf kerana gabungan yang baik dibina atas kepimpinan bersama dan pembahagian kuasa yang adil, bukan dikawal oleh satu parti dominan.

Semua keputusan, tanggungjawab, dan perwakilan mesti dibincang dan dipersetujui bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah hantaran di media sosial Facebook miliknya, di sini, hari ini.

Menurut Salleh, aspek utama yang wajar dipegang adalah agenda bersama yang disokong suara majoriti.

“Apa yang paling penting ialah agenda bersama yang disokong oleh semua x terutamanya dalam soal pembangunan, tadbir urus yang baik, dan perlindungan hak-hak Sabah.

“Perwakilan yang adil bagi komuniti utama Sabah, Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam, dan bukan Bumiputera adalah penting, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. 

“Kuasa juga mesti dikongsi secara adil antara semua rakan gabungan. Setiap parti mesti mempunyai peranan sebenar dan hak bersuara yang saksama dalam menentukan keputusan,” katanya lagi.

Tambah Salleh, sebuah gabungan yang kukuh perlu mencerminkan kepelbagaian Sabah.

“Setiap kumpulan berhak mendapat suara dan tempat di meja rundingan kerana kestabilan datang daripada kepercayaan dan keadilan. Apabila semua pihak merasa dihormati dan dilibatkan, gabungan akan menjadi lebih kuat dan bersatu.

“Sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan cara berfikir lama. Sabah memerlukan gabungan yang berfungsi sebagai satu pasukan, bukan satu parti yang menentukan segala-galanya sementara yang lain hanya mengikut,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen