KOTA KINABALU: Ketua Cabang Keadilan Tuaran, Razeef Rakimin meminta semua pihak agar fokus kepada usaha yang dirancang untuk parti dan berhenti untuk mendesak Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mempertimbang semula keputusan mereka untuk melepaskan jawatan dalam kabinet.
“Pemimpin Keadilan perlu ‘move on’ dan berhenti memaksa Rafizi dan Nik Nazmi untuk keluar dari prinsip mereka.
“Bagi mereka, kedudukan sebagai pimpinan utama parti adalah asas yang meletakkan mereka dalam kabinet kerajaan Persekutuan.
“Namun mereka dengan terbuka menerima bahawa mandat itu telah ditarik oleh anggota Keadilan sendiri maka atas dasar prinsip mereka melepaskan jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengeluarkan kenyataan yang meminta Rafizi dan Nik Nazmi untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk melepaskan jawatan dalam kabinet.
“Semalam dalam satu hantaran di laman media sosial Facebook, Rafizi memaklumkan telah mengosongkan pejabat dan tidak berganjak dari pendirian beliau.
“Jika Shamsul ingin Rafizi untuk berjiwa besar, sepatutnya perkara itu berlaku di awal sebelum pemilihan parti bila mana Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Keadilan meminta agar Rafizi diberi laluan mudah dan kekal sebagai Timbalan Presiden.
“Namun Shamsul sendiri antara yang terawal menggerakkan kenyataan sokongan kepada Nurul Izzah untuk menidakkan gesaan Presiden dan melawan Rafizi,” katanya lagi.
Tambah Razeef, sebagai seorang ahli dan pemimpin dalam parti, hal terbaik yang perlu dilakukan adalah berpegang kepada prinsip perjuangan parti dan tidak menyemai benih-benih permusuhan.
“Jika sudah niat ingin menyingkirkan Rafizi, bagi saya pemimpin Keadilan tidak perlu hipokrit memandangkan Rafizi dan beberapa sekutunya berjaya disingkirkan.
“Sepatutnya Shamsul melihat tindakan Rafizi dan Nik Nazmi membuktikan bahawa adalah ‘Pemimpin Sinaran’ dan bukannya ‘Pemimpin Sialan’ seperti beberapa ciri pemimpin yang disebut sendiri oleh Shamsul Iskandar sebelum ini,” tegas Razeef.
