SANDAKAN: Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Libaran mengumumkan bahawa Program Penyerahan Deposit Meter Air untuk empat buah kampung di kawasan Libaran terpaksa ditangguhkan atas permintaan Jabatan Air Sandakan susulan daripada masalah bekalan air bersih yang masih belum stabil.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran, Zaini Tiksun berkata program yang melibatkan penduduk Kampung Banting, Kampung Dandulit, Kampung Sungai Beruang dan Kampung Kuala Gum-Gum adalah program yang dirancang bagi membantu penduduk luar bandar mendapatkan akses kepada kemudahan asas melalui sumbangan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.
“Penangguhan ini berlaku kerana Jabatan Air Sandakan masih belum dapat memberi jaminan bila bekalan air akan kembali stabil, malah satu tangki simpanan air di Jalan Dandulit Batu 12 yang telah siap sepenuhnya juga masih belum dapat digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, sebuah lagi projek tangki simpanan utama berkapasiti lima juta liter di Jalan Sungai Manila yang sepatutnya menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu air di kawasan ini hanya dijangka siap pada Julai 2026.
“Ini projek, setakat masa ini kemajuan fizikalnya baru mencapai 58 peratus,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Zaini menggesa agar Kerajaan Negeri dan Jabatan Air Sabah untuk mengambil langkah pantas dengan melaksanakan inisiatif interim untuk menyalurkan bekalan air bersih ke kampung-kampung terbabit, tanpa perlu menunggu sehingga projek siap sepenuhnya.
“Rakyat tidak boleh terus menunggu. Akses kepada air bersih adalah hak asas yang mesti dipenuhi segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kelewatan dalam menyalurkan bekalan air bersih memberi kesan langsung kepada kualiti hidup penduduk luar bandar dan perkara ini perlu ditangani dengan komitmen serta keutamaan yang tinggi oleh pihak berwajib.
