KOTA BELUD: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa komited dalam usaha untuk memastikan akses kepada bekalan bahan api yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih PETRONAS (ROVR) adalah antara inisiatif oleh PETRONAS Dagangan Berhad sejak tahun 2018, merupakan langkah strategik yang amat bertepatan dalam memperkukuh jaringan bekalan bahan api kepada rakyat di seluruh negara.
“Hari ini, saya bersama wakil PETRONAS Dagangan Berhad hadir bagi melawat tapak ROVR yang dijangkakan mula beroperasi di Kuala Abai, Kota Belud pada 21 Jun 2025 ini.
“Buat masa ini, ROVR beroperasi di Sabah (sebuah, di Beaufort) dan Sarawak (enam buah).
“Pembukaan ROVR di Kuala Abai ini menjadikan jumlah keseluruhan 8 ROVR bagi kawasan luar bandar,” katanya.
Menurut Armizan, perkhidmatan ROVR bukan sekadar satu penyelesaian logistik, malah satu keperluan kepada penduduk di kawasan luar bandar atau pedalaman untuk mendapatkan bekalan petrol RON95.
“Kita yakin, dengan adanya ROVR ini, penduduk dapat menikmati kemudahan pengisian bahan api yang lebih dekat, mudah dan selamat.
“Sehingga kini, ROVR telah mengagihkan lebih 250 juta liter bahan api sejak ia dilancarkan, dan keberkesanannya telah terbukti dalam menyokong mobiliti harian serta semasa situasi kecemasan negara seperti pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
“Nelayan merupakan komuniti terbesar yang menggunakan ROVR di Sabah dan Sarawak dan pembukaan ROVR di Kuala Abai, yang akan dikendalikan oleh
Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud, merupakan satu langkah tepat ke arah merancakkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya.
Tambah Armizan lagi, melalui pembukaan ROVR di Kuala Abai, antara sektor ekonomi setempat yang bakal menerima manfaat daripada kemudahan ROVR di sini adalah perikanan dan pertanian di kampung sekitar seperti Kampung Kuala Abai, Kampung Buah Pandai, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kulambai.
“Dengan kehadiran ROVR yang membekalkan bahan api terus ke kawasan nelayan, mereka tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke stesen minyak, sekali gus mengurangkan kos operasi harian.
“Selain itu, kehadiran ROVR turut menyokong kelangsungan ekonomi komuniti nelayan setempat dengan memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh, terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika permintaan tinggi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada PETRONAS Dagangan Berhad atas kerjasama strategik yang berterusan bersama KPDN dalam memperluas liputan ROVR ke kawasan yang memerlukan,” jelasnya.
Armizan turut memberitahu bahawa kementeriannya akan terus memastikan bekalan petrol RON95 pada harga runcit terkawal sampai ke tangan rakyat, tanpa mengira lokasi geografi.
“Usaha ini bukan sahaja menjamin keadilan tenaga (energy equity), tetapi juga mengurangkan beban kos sara hidup penduduk luar bandar serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat,” ujarnya.
