KOTA BELUD: Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa pandangan yang dinyatakan berkenaan pertembungan GRS bersama Barisan Nasional (BN) adalah wajar.
“Biarkan GRS dan BN bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang, seperti pandangan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Hal berkaitan kerjasama BN dengan GRS yang akan dipertimbang selepas PRN, tidak mengapa, kita tunaikan hajat Bung.
“Secara peribadi, saya nyatakan, saya setuju, biar GRS dan BN bertembung,” katanya.
Armizan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Tempasuk, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi tahun 2025, di sini, hari ini.
Menurut Armizan, melalui pertarungan seumpama itu, kekuatan sebenar akan dinoktahkan.
“Lepas ini tidak ada isu siapa khianat dan siapa kuat.
“Tidak akan ada lagi saling tuduh-menuduh, calon parti A menang bukan kerana kekuatan sendiri, tapi kerana parti B, dan semua yang seumpamanya,” katanya lagi.
Tegas Armizan lagi, pendirian GRS setakat ini adalah sebagaimana yang pernah disebut oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, iaitu GRS terbuka untuk meneruskan kerjasama parti-parti teras yang membentuk Kerajaan Negeri hari ini iaitu GRS dan PH.
“Kita wajar hargai pendirian PH yang telah mengutamakan kestabilan dengan menolak Langkah Kinabalu dahulu, dan memilih untuk menyokong Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.
“Dan saya melihat hari ini kerajaan berjalan dengan amat baik melalui kombinasi kerjasama sedia ada.
“Saya fikir melihat kepada suara dan sentimen para pemimpin dan pendokong GRS di akar umbi, mereka memang mahu bertembung dengan BN,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang.
“Pertama, tidak ada terkandung dalam MOU Pembentukan Kerajaan Perpaduan bahawa kerjasama itu wajib dipanjangkan ke peringkat negeri dan PRN ini memilih Kerajaan Negeri dan bukannya Kerajaan Persekutuan.
“Kedua, apa yang penting adalah komitmen semua sebagaimana dalam MOU Kerajaan Perpaduan adalah pihak-pihak yang terlibat wajar memastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan perlu dikekalkan sehingga tempoh yang ditetapkan.
“Ketiga, pertembungan sesama parti yang menganggotai Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya negeri bukan perkara baharu dan pernah berlaku di Sabah satu masa dahulu, dan berlaku juga di Melaka dan Johor dalam pilihan raya negeri di yang lalu,” tambah Armizan lagi.
Katanya, samada keputusan untuk bekerjasama atau tidak dibuat oleh parti, perkara itu tidak seharusnya dijadikan polemik berpanjangan.
“Sebaiknya kita bagi seluas-luas pilihan dan biar rakyat menilai dan membuat pilihan,” ujar beliau lagi.
